Berita

Kemaskini: 01/09/2026 06:00 PM

Jerebu Di Sabah: Utamakan Kesihatan, Kurangkan Aktiviti Luar - Nizam

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU, 1 Sept (Bernama) -- Aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup yang bersesuaian sekiranya keadaan jerebu tidak mengizinkan, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan atlet, pemain serta peserta sentiasa menjadi keutamaan.

“Persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program diseru supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan masing-masing serta membuat penyesuaian sewajarnya terhadap latihan atau aktiviti luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam berkata beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu telah mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, dan perlu diberikan perhatian serius kerana bacaan berkenaan boleh berubah dari semasa ke semasa.

Menurut maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, jerebu ketika ini antara lain berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan, yang dibawa tiupan angin ke wilayah Borneo termasuk Sabah.

Beliau turut menyeru masyarakat supaya tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi kualiti udara, selain segera melaporkan kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

Kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan terus mengikuti perkembangan semasa, manakala JAS serta agensi berkenaan sedang mengambil langkah sewajarnya termasuk meningkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan.

Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) empat kawasan di Sabah mencatatkan IPU tahap tidak sihat setakat 11 pagi ini.

Kota Kinabalu merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 171, diikuti Keningau 158, Kimanis 161 dan Tawau 140, manakala Sandakan kekal pada tahap sederhana dengan bacaan 93.

-- BERNAMA