Berita

Kemaskini: 25/08/2026 11:16 AM

Garrido Puji Pemain Sabah FC Selepas Rehat, Raih Tiga Mata

Pemain Sabah FC, Parking Jungbin coba melepasi pemain pertahanan Star City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Bernama) -- Ketua Jurulatih Sabah FC Juan Torres Garrido melahirkan rasa puas hati dengan prestasi anak buahnya selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Star City FC sekali gus mengutip tiga mata penuh pada aksi sulung Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.

Garrido berkata pertukaran taktik pada babak kedua berkesan menyekat ancaman situasi bola mati skuad lawan, sekali gus membantu pasukan tuan rumah menguasai perlawanan dengan lebih baik.

"Kami gembira kerana berjaya mencapai sasaran untuk meraih tiga mata dan mempamerkan aksi terbaik di halaman sendiri. Kami berharap kemenangan ini dapat menarik lebih ramai penyokong ke Stadium Likas bagi perlawanan akan datang," katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.

Beliau turut mengakui Star City FC memberi ancaman awal menerusi situasi bola mati, namun memuji barisan pemain baharunya yang pantas menyesuaikan diri selepas gol penyamaan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Star City FC Mehmet Durakovic menyifatkan kekalahan tersebut sebagai keputusan yang sukar diterima selepas pemainnya hilang fokus pada 10 minit terakhir perlawanan.

"Kami perlu mengekalkan fokus selama 90 minit dan bukannya sekadar 80 minit. Kami akan atasi kekurangan ini dengan kembali berlatih sebagai persediaan menghadapi perlawanan seterusnya," kata Durakovic.

Durakovic turut memuji skuad mudanya yang mampu bersaing sehingga wisel penamat ketika berdepan pasukan lebih berpengalaman dan membentuk keserasian dengan ramai pemain baharu memerlukan masa.

Kemenangan itu meletakkan Sabah FC di tangga keempat liga, manakala Star City FC berada di kedudukan kesembilan.

-- BERNAMA