Berita

Kemaskini: 24/08/2026 10:57 PM

Liga Super: Sabah Mula Langkah Kanan, Tewaskan Star City FC 3-1

Pemain Sabah FC, Parking Jungbin coba melepasi pemain pertahanan Star City FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KOTA KINABALU, 24 Ogos (Bernama) -- Sabah FC memulakan kempen Liga Super musim ini dengan langkah kanan selepas menewaskan Star City FC 3-1 pada perlawanan pembukaan di Stadium Likas di sini malam ini.

Skuad The Rhinos membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan Dane Ingham pada minit ke-26 selepas bijak menyempurnakan hantaran Fadzrul Danel.

Star City FC bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan Rafael Vitor hasil sepakan sudut Zulfahmi Ariffin tiga minit kemudian.

Tuan rumah hampir mendahului sekali lagi pada minit ke-67 menerusi percubaan Park Jung-bin, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) oleh pengadil S. Logeswaran mendapati pemain itu berada dalam kedudukan ofsaid.

Penyerang kebangsaan Darren Lok akhirnya meletakkan Sabah FC di hadapan pada minit ke-89 selepas menyusup di celah pemain pertahanan lawan untuk menyambut hantaran berkualiti Fadzrul yang cemerlang dengan menghasilkan dua bantuan jaringan malam ini.

Jung-bin menebus kehampaannya apabila mengesahkan kemenangan pasukan tuan rumah pada minit ke-94 selepas menyempurnakan hantaran Fayadh Zulkifli yang melakukan serangan balas pantas, sebelum jaringan itu disahkan menerusi semakan VAR.

Sabah FC yang dibimbing ketua jurulatih Juan Torres Garrido banyak menguasai permainan, namun keampuhan benteng pertahanan Star City FC dan penjaga golnya Hafizul Hakim menafikan banyak percubaan pasukan tuan rumah.

Kemenangan itu meletakkan Sabah FC di kedudukan keempat carta Liga Super manakala Star City FC yang dibimbing ketua jurulatih Mehmed Durakovic berada di tangga kesembilan.

-- BERNAMA