Berita
Jenazah Bung Moktar Selamat Dikebumikan Di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas
KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini awal pagi tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas pada 2.25 petang.
Hujan gerimis turun sejurus selesai pengebumian tokoh politik yang banyak berjasa kepada rakyat Sabah itu.
Terdahulu, van membawa jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan itu pada 1.45 tengah hari, disambut orang ramai daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama dalam suasana hiba, menggambarkan kasih sayang tidak berbelah bahagi rakyat kepada beliau.
Mereka yang hadir kemudian berpusu-pusu membantu urusan pengebumian termasuk mengangkat jenazah, menyediakan tapak perkuburan dan melakukan kerja-kerja tanah.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah yang juga Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin, Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar, sanak saudara dan rakan seperjuangan Allahyarham.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.
Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Piala Malaysia: Melaka Mara Ke Suku Akhir Selepas Singkirkan Sabah
- Duta AS Ucap Selamat Tinggal Kepada Sabah, Janji Akan Kembali Untuk Tawan Gunung Kinabalu
- Program ETA Fulbright Jadi Pemangkin Hubungan Erat AS-Malaysia - Duta
- Arthur Kurup Diharap Pacu Momentum Baharu BN Sabah Menjelang PRU16 – Ahmad Zahid
- Kerajaan MADANI Utamakan Sabah, Terima Peruntukan Luar Bandar Tertinggi – TPM Ahmad Zahid