Berita Terkini
PHNS Gesa Kemelut Politik, Pentadbiran Negeri Sembilan Diselesaikan Segera
SEREMBAN, 23 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan Negeri Sembilan (PHNS) menggesa kemelut politik dan pentadbiran negeri yang berlarutan sejak lebih 100 hari lepas diselesaikan segera bagi memastikan kelancaran urusan kerajaan serta kepentingan rakyat terus terpelihara.
Majlis Pimpinan Negeri PHNS dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa sebarang penyelesaian perlu berlandaskan peruntukan perlembagaan, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, demi menjamin kestabilan dan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
“Sudah lebih 100 hari Negeri Sembilan dibelenggu ketidaktentuan politik dan pentadbiran. PHNS berpandangan bahawa keadaan ini menjejaskan keutamaan pentadbiran negeri dan menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran urusan kerajaan.
“Negeri Sembilan tidak seharusnya terus menjadi mangsa percaturan politik pihak yang diberikan mandat untuk mentadbir. Rakyat memberikan mandat untuk bekerja dan menyelesaikan masalah mereka, bukannya untuk menyaksikan pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan,” menurut kenyataan itu.
PHNS turut menegaskan bahawa Negeri Sembilan bukan milik mana-mana parti politik, sebaliknya sebuah negeri yang menuntut penghormatan terhadap kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Besar serta pemeliharaan keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), dengan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
PHNS turut berharap pertelingkahan politik tidak menjejaskan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 yang akan datang kerana kedua-duanya melibatkan peruntukan pembangunan, kebajikan rakyat, kemudahan awam serta kelangsungan ekonomi negeri.
“Jangan sampai pertelingkahan politik menyebabkan kepentingan serta masa depan rakyat Negeri Sembilan terus terabai,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, PHNS menegaskan pendiriannya untuk terus menjunjung kedaulatan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selain menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi Undang Yang Empat yang sah di luak masing-masing, selaras dengan adat, undang-undang dan UUTKNS.
“Pendirian ini bukan didorong oleh kepentingan politik kepartian, tetapi berpaksikan prinsip bahawa kedaulatan institusi diraja, keluhuran perlembagaan dan kestabilan negeri wajib dipertahankan tanpa kompromi,” menurut kenyataan itu.
PHNS turut mengulangi gesaan supaya semua pihak dalam Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menghentikan pertelingkahan politik, menghormati proses perlembagaan serta memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat kembali berfungsi dengan teratur.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- 274 Calon SPM Di N.sembilan Berdepan Risiko Bencana Susulan MTL
- Polis Minta Kerjasama Orang Ramai Kesan Remaja 14 Tahun
- Ismail Lasim Tidak Sihat, Sedang Terima Rawatan Di Hospital
- Sindiket Guna Web Tertutup, Media Sosial Bekal Vape Campur "Piu-piu"
- Isu Menteri Besar: BN Serah Penyelesaian Kepada Tuanku Muhriz - Ahmad Zahid