Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 26/09/2026 12:46 AM

Tindakan Pentadbiran Perlu Ikut Undang-undang, Bidang Kuasa Ditetapkan - Saifuddin

Tindakan Pentadbiran Perlu Ikut Undang-undang, Bidang Kuasa Ditetapkan - Saifuddin
Kredit: FB Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Prinsip kedaulatan undang-undang dan tatakelola yang baik perlu terus dipertahankan dalam urusan pentadbiran bagi memastikan setiap tindakan dibuat mengikut bidang kuasa yang ditetapkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Justeru, tindakan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Muzalmah Mustapha Kamal memperlihatkan pentingnya setiap tindakan pentadbiran dibuat berdasarkan pemahaman yang jelas terhadap bidang kuasa serta peruntukan undang-undang.

"Ketetapan Bahagian Perlembagaan dan Undang-Undang Negeri, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas kedua-dua pegawai tinggi berkenaan.

"Asas perundangannya jelas. Perkara 37 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 menetapkan bahawa urusan pelantikan mahupun penggantungan tugas bagi kedua-dua jawatan utama ini berada di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kejelasan perundangan yang ditegaskan melalui AGC mencerminkan keperluan memastikan prinsip tatakelola, keadilan dan kedaulatan undang-undang terus dipelihara dalam pentadbiran negara.

"Tiada mana-mana pihak boleh bertindak secara unilateral melangkaui bidang kuasa serta peruntukan perlembagaan yang telah ditetapkan.

"Dalam pentadbiran negara, setiap kuasa datang bersama batas dan tanggungjawab. Menghormati batas tersebut adalah asas kepada kekuatan institusi dan keyakinan terhadap sistem pentadbiran kita," katanya.

Saifuddin Nasution berkata penjawat awam yang melaksanakan amanah dan tanggungjawab perlu dilindungi daripada tindakan yang tidak melalui saluran serta proses perundangan sewajarnya.

Jelas beliau lagi pematuhan terhadap Perlembagaan dan undang-undang penting bagi memastikan pentadbiran negara kekal stabil, teratur serta berintegriti.

"Semangat amanah menjadi benteng penting dalam memastikan integriti institusi pentadbiran serta keselamatan perkhidmatan awam terus terpelihara daripada sebarang tindakan yang dibuat tanpa kuasa yang sah.

"Inilah asas sebuah pentadbiran yang kukuh, iaitu kuasa dilaksanakan mengikut undang-undang, institusi dihormati dan amanah kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan," katanya.

-- BERNAMA