Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 30/08/2026 10:34 AM

Bumi Merdeka, Warisan Bersama: TNB Memelihara Alam Untuk Generasi Akan Datang

Bumi Merdeka, Warisan Bersama: TNB Memelihara Alam Untuk Generasi Akan Datang
My Brighter Green Initiative 2026 memperkukuh komitmen Tenaga Nasional Berhad (TNB) terhadap pemeliharaan alam sekitar menerusi penanaman 40,000 anak pokok hutan dan bakau di seluruh negara sepanjang tahun ini. Kredit: TNB

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) -- Hampir tujuh dekad selepas negara mencapai kemerdekaan, persoalan mengenai warisan yang mahu ditinggalkan kepada generasi seterusnya tidak lagi hanya berkisar tentang pembangunan, tetapi turut merangkumi khazanah alam yang menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia.

Di Jimah, Negeri Sembilan, sebuah kawasan yang dahulunya kosong dan berpasir kini semakin menghijau dengan lebih 40,000 pokok bakau hasil usaha penanaman sejak 2021 yang membuktikan pemulihan ekosistem mampu mengubah landskap dan membentuk warisan hijau untuk masa depan.

Pemangku Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Muhammad Raffi Ismail berkata usaha itu bermula sebagai projek perintis hasil kerjasama strategik MNS dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebelum berkembang dengan penglibatan komuniti setempat serta agensi kerajaan.

Bumi Merdeka, Warisan Bersama: TNB Memelihara Alam Untuk Generasi Akan Datang
Pemangku Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Muhammad Raffi Ismail berkata usaha itu bermula sebagai projek perintis hasil kerjasama strategik MNS. Kredit: Tenaga Nasional Berhad (TNB)

“Ini antara satu kerja yang besar, melibatkan asal Jimah sebagai satu kawasan yang kosong namun hari ini kita datang, sudah ada banyak pokok. Malah, sebahagian daripadanya sudah mula berbuah. Itu antara fasa pertama yang kita tanam dan hari ini kita ambil hasilnya,” katanya dalam video temu bual kepada Bernama.

Beliau berkata perubahan fizikal kawasan itu menjadi gambaran jelas mengenai perjalanan pemulihan ekosistem yang bermula daripada tanah lapang sebelum secara berperingkat berubah menjadi kawasan hutan bakau yang semakin padat.

“Kita dapat lihat daripada beberapa siri penanaman kawasan yang kosong telah menjadi hutan dan kawasan yang padat dengan pokok. Jadi, kita boleh katakan penambahan kanopi pokok ini sebenarnya memberi manfaat, bukan sahaja kepada TNB tetapi kepada alam sekitar itu sendiri,” katanya.

Bumi Merdeka, Warisan Bersama: TNB Memelihara Alam Untuk Generasi Akan Datang
Kredit foto: Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Muhammad Raffi berkata kadar kelangsungan hidup pokok yang tinggi turut membolehkan kawasan penanaman diperluas sehingga menghampiri laut manakala kawasan penanaman terdahulu kini semakin padat sehingga sukar untuk dimasuki.

Beliau berkata kesinambungan usaha itu penting kerana pemuliharaan alam tidak berakhir selepas pokok ditanam, sebaliknya memerlukan komitmen berterusan untuk memastikan kawasan hijau yang diwujudkan terus dipelihara.

“Kini tiada lagi aktiviti penanaman pokok bakau, sebaliknya lebih menjurus kepada usaha meningkatkan kesedaran,” katanya.

Pendekatan itu, menurut beliau selari dengan Malaysia Brighter Green Initiative (MBGI) yang mengetengahkan kerjasama sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dalam menterjemahkan kesedaran terhadap alam sekitar kepada tindakan nyata.

Selain di Jimah, Negeri Sembilan pemuliharaan pokok hutan dan bakau menerusi MBGI dilaksanakan di Kubang Badak, Langkawi; Tanjung Burung, Perak; Tanjung Tuan, Melaka dan Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Bagi MNS, Muhammad Raffi berkata usaha pemulihan ekosistem secara semula jadi atau natural solution semakin penting dalam berhadapan cabaran perubahan iklim.

“Satu cara yang kita boleh fikirkan adalah natural solution. Kita boleh buat restorasi dengan kerjasama TNB, kita dapat menambah dan mengekalkan jumlah pokok yang ada dan pada masa sama, menambah lagi jumlah pokok. 

“Kita berharap apa yang dilakukan ini dapat memberi impak kepada persekitaran, alam sekitar dan juga komuniti setempat,” katanya.

Di Jimah, pemilihan bakau kurap dan bakau minyak dibuat berdasarkan keadaan kawasan serta corak spesies yang tumbuh di situ, dengan kedua-duanya menunjukkan pertumbuhan yang baik sejak penanaman terdahulu.

Kehadiran hidupan marin di sekitar kawasan bakau turut dapat dilihat, termasuk sarang ketam dan kesan aktiviti menangkap ketam, namun Muhammad Raffi menegaskan MNS tidak mempunyai data penyelidikan khusus untuk mengukur perubahan biodiversiti di lokasi berkenaan.

Dengan kawasan penanaman bakau di Jimah kini telah mencapai had untuk diperluas ke arah laut, MNS melihat fasa seterusnya berpotensi beralih daripada penanaman kepada pendidikan dan kesedaran alam sekitar.

Justeru, Muhammad Raffi berharap kawasan itu dapat dikembangkan sebagai pusat kecemerlangan yang bukan sahaja menceritakan transformasi sebuah kawasan kosong menjadi hutan bakau, malah memberikan peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan menghargai alam semula jadi.

“Saya fikir ini masa yang sesuai untuk memberi lebih tumpuan kepada pendidikan generasi muda kerana jika kita lihat, golongan Generasi Z kini kebanyakannya lebih banyak meluangkan masa dengan gajet dan mempunyai peluang yang sangat terhad untuk melakukan aktiviti di luar,” katanya.

Muhammad Raffi berkata sebuah pusat pendidikan di kawasan itu juga berpotensi mewujudkan hubungan antara pemuliharaan bakau, komuniti dan tenaga selain membuka ruang kepada komuniti setempat untuk terlibat dalam aktiviti seperti penyediaan makanan dan khidmat pemandu.

“Selain daripada kita bercakap mengenai bakau, kita juga boleh melihat secara menyeluruh bagaimana perkara ini dapat diterangkan dan disampaikan melalui penceritaan yang menghubungkan aspek tenaga, ekosistem bakau dan komuniti,” katanya.

Daripada kawasan lapang dan berpasir kepada deretan bakau yang semakin matang, perjalanan Jimah membuktikan warisan hijau tidak terbentuk dalam sehari, sebaliknya lahir daripada kesinambungan tindakan dan penglibatan pelbagai pihak.

Sempena Bulan Kebangsaan, kisah itu mengingatkan bahawa kemerdekaan juga membawa tanggungjawab untuk memastikan khazanah alam yang dinikmati hari ini terus terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang. 

-- BERNAMA