Berita Terkini
Lebih 30,000 Pengunjung Hadir Meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Sembilan
SEREMBAN, 31 Ogos (Bernama) -- Lebih 30,000 pengunjung berbilang bangsa dan kaum hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini.
Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata kehadiran orang ramai memenuhi lokasi itu sejak awal pagi mencerminkan keterujaan dan semangat patriotik rakyat di negeri itu untuk sama-sama meraikan sambutan berkenaan.
“Kehadiran itu cukup menyatakan mereka bersemangat raikan Hari Kebangsaan tahun ini, ada yang tiba seawal 5.30 pagi. Ini menunjukkan semangat cinta akan tanah air begitu tinggi dan mereka berpuas hati melihat persembahan.
“Bagaimanapun, tahun ini jumlah kontinjen dan aset terlibat perbarisan dikurangkan kerana khuatir persembahan akan mengambil masa lama, sekali gus mendedahkan orang ramai kepada cuaca tidak begitu baik akibat jerebu, namun keadaan hari ini dilihat baik,” katanya kepada pemberita selepas sambutan berkenaan.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke sambutan itu kira-kira 8.20 pagi, dengan ketibaan baginda berdua disambut Ismail.
Sebanyak 82 kontinjen membabitkan lebih 4,000 peserta menyertai perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi serta syarikat swasta.
Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Senawang diketuai Mejar Dr Muhammad Hazim Abdul Qhalib dengan Pegawai Panji-Panji Leftenan Ahmad Izzudin Abdul Kadir dan Sarjan Mejar Rejimen Pegawai Waran (PW) 1 Darul Azhar Mohamed.
KKU diiringi Pancaragam Pengiring gabungan daripada Batalion ke 24 RAMD dan Brass Band Pusat Latihan Asas Tentera Darat di bawah pimpinan Drum Major PW 2 Azwan Zakaria dengan iringan muzik, termasuk lagu Sembah Tari, Aladom, Seruan Tentera dan Tentera Benteng.
Sambutan kali ini turut diserikan dengan perarakan aset agensi pertahanan dan keselamatan, kenderaan berhias serta klasik termasuk kereta antik dan basikal tua, sekali gus mencuri tumpuan orang ramai sepanjang acara berlangsung.
Perarakan itu juga antara lain melibatkan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Bandaraya Seremban.
Dalam pada itu, suri rumah Siti Ruayiza Rebin, 42, berkata beliau tidak pernah ketinggalan membawa tiga anaknya yang berusia 19, 15 dan 12 tahun ke sambutan Hari Kebangsaan sejak mereka kecil, sekali gus mendedahkan mereka kepada erti kemerdekaan dan menyemai semangat patriotik dalam diri.
“Saya memang biasakan mereka sejak kecil, kalau ada program kemerdekaan di sekolah, saya akan sokong supaya mereka faham erti merdeka dan menghargai pengorbanan pejuang terdahulu memperoleh kemerdekaan,” katanya.
Pekerja swasta, Mohd Khairul Azmi, 45, yang membawa dua anaknya berusia lima dan tujuh tahun pula turut melahirkan keterujaan dapat menyaksikan perarakan dengan pelbagai aset tentera yang jarang dipertontonkan kepada awam.
“Anak-anak memang teruja terutama bila tengok kereta antik dan aset keselamatan, kami datang awal kira-kira 6 pagi supaya dapat tempat sesuai dan mereka boleh lihat perarakan dengan lebih dekat, sambutan ini penting kerana dapat ajar anak hargai sejarah dan jasa generasi dahulu,” katanya.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Semangat Juang Pemain Bantu Melaka FC Bangkit Catat Kemenangan
- Tahap Tepu Bina Rendah Beri Peluang Negeri Sembilan Rancang Pembangunan Lebih Strategik - MB
- Melaka FC Bangkit Catat Kemenangan 2-1 Ke Atas Negeri Sembilan FC
- Dua Beradik Sesat Di Bukit Putus Lama Ditemukan Selamat
- Bumi Merdeka, Warisan Bersama: TNB Memelihara Alam Untuk Generasi Akan Datang