Berita Terkini
DAP Akan Buat Penilaian Menyeluruh Keputusan PRN Negeri Sembilan - Gobind
SEREMBAN, 2 Ogos (Bernama) -- DAP akan membuat penilaian menyeluruh terhadap kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, semalam.
Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo berkata parti itu juga akan mendengar dengan teliti keluhan serta kebimbangan rakyat dan akan bekerja keras untuk mendapatkan semula keyakinan serta sokongan mereka.
“Pengundi di Negeri Sembilan telah memberikan keputusan mereka dalam Pilihan Raya Negeri ke-16, dan kami menerima keputusan ini dengan penuh rasa rendah diri. Kami mengucapkan terima kasih kepada setiap pengundi yang telah menyokong Pakatan Harapan (PH) dan DAP.
“Kami juga mengambil maklum atas kekalahan Setiausaha Agung kami Anthony Loke di (Dewan Undangan Negeri) Chennah selepas persaingan yang sengit.
“Loke telah berkhidmat untuk parti dan rakyat dengan cemerlang selama bertahun-tahun dan kami yakin beliau akan terus berbuat demikian. DAP pernah menghadapi cabaran dan kekalahan sebelum ini. Mesej daripada para pengundi adalah jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRN itu, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi DUN, PH dengan 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan tujuh kerusi.
DAP menang di sembilan daripada 11 kerusi yang ditandingi parti itu.
Dalam pada itu, Gobind yang juga Menteri Digital berkata DAP menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat dan mengucapkan tahniah kepada mereka yang dipilih untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan yang baharu.
“Kami berharap mereka akan memerintah dengan bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.
Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Menteri Besar Baharu Negeri Sembilan Ziarah Pusara Orang Tua Di Juasseh
- Kerajaan N. Sembilan Terus Dukung, Muliakan Institusi Diraja - MB
- Senarai Exco Negeri Sembilan Dimuktamad Selewatnya Jumaat Ini - MB
- MB Negeri Sembilan Umum Cuti Peristiwa Esok
- PRN Melaka: BN Melaka Terbuka Bekerjasama Dengan Mana-mana Pihak