Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 02/08/2026 02:52 PM

Senarai Exco Negeri Sembilan Dimuktamad Selewatnya Jumaat Ini - MB

Senarai Exco Negeri Sembilan Dimuktamad Selewatnya Jumaat Ini - MB
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan bergambar bersama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dan isteri Datin Noraishah Othman selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti. Turut berangkat Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA PILAH, 2 Ogos (Bernama) -- Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan dimuktamadkan selewat-lewatnya menjelang Jumaat ini, kata Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.

Beliau berkata perbincangan akan diadakan dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum senarai berkenaan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau berkata pertemuan dengan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diadakan dalam masa terdekat untuk mendapat pandangan berhubung senarai EXCO termasuk penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN).

“Kalau ikut, kita cuba selesaikan minggu ini, menjelang hari Jumaat. Kalau sempat, insya-Allah. Kalau ikut Tuanku, baginda lebih suka diselesaikan dalam masa terdekat.

“Kita perlu tubuhkan kerajaan secara bersama dan pastinya kita ada ADUN yang mewakili Barisan Nasional yang bukan sahaja terdiri daripada UMNO, tetapi juga parti komponen kita iaitu MCA dan MIC. Ini semua akan diberikan perhatian dalam pembentukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Terdahulu,  Ismail yang juga ADUN Juasseh mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini 

Mengulas saiz EXCO negeri, Ismail berkata beliau belum memuktamadkan perkara itu namun berpandangan jumlah 10 anggota seperti diamalkan sebelum ini adalah paling sesuai untuk pentadbiran negeri.

Beliau berkata pelantikan EXCO kanan dan pembahagian portfolio juga masih belum dibincangkan dan akan dipertimbangkan selepas proses perbincangan dengan kepimpinan parti selesai.

“Penglibatan ADUN daripada Perikatan Nasional dalam senarai EXCO juga akan dibincangkan bersama Presiden (Ahmad Zahid),” katanya.

Ditanya mengenai keutamaan pentadbiran bagi tempoh awal penggal baharu, Ismail berkata kesejahteraan rakyat terus menjadi fokus utama kerajaan negeri.

Katanya sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, kesejahteraan mereka menjadi tunjang utama dan fokus jangka panjang pentadbiran kerajaan negeri.

Keputusan PRN Negeri Sembilan semalam menyaksikan BN berjaya memperoleh 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PN mendapat tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Sebanyak 36 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini, melibatkan 103 calon.

Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA