Berita Terkini
PRN NS: Bersatu Akan Teliti Keputusan, Lakukan Bedah Siasat Perkukuh Parti
SEREMBAN, 2 Ogos (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meneliti secara terperinci mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata parti itu juga akan menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti langkah strategik yang dapat memperkukuh perjuangan parti itu.
“Ini adalah kali pertama Bersatu menyertai pilihan raya dengan menggunakan simbol sendiri tanpa bergantung dan menumpang kepada pihak lain.
"Keputusan di Negeri Sembilan menuntut Bersatu untuk mengambil tindakan yang berani bagi meningkatkan disiplin dalaman, bekerja dengan kuat dan membawa agenda perubahan yang dapat memberi manfaat terbaik untuk rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRN kali ini, Bersatu yang bertanding di 24 kerusi gagal memperoleh sebarang kemenangan.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata Bersatu akan membincangkan pembentukan gabungan parti-parti politik yang sederhana dan progresif untuk menyegarkan demokrasi dalam negara demi masa depan yang lebih cemerlang.
Negeri Sembilan mempunyai 36 DUN dan pada PRN kali ini, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN), tujuh.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, PH yang memenangi 17 kerusi DUN membentuk kerajaan negeri bersama BN yang memperoleh 14 kerusi, manakala PN memenangi lima kerusi.
Pada 27 April lepas, BN Negeri Sembilan bertindak menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang membawa kepada pembubaran DUN pada 5 Jun lepas.
Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- BN Junjung Kasih Perkenan Tuanku Muhriz Pelantikan Ismail Sebagai MB N. Sembilan Baharu
- Menteri Besar Baharu Negeri Sembilan Ziarah Pusara Orang Tua Di Juasseh
- Kerajaan N. Sembilan Terus Dukung, Muliakan Institusi Diraja - MB
- Senarai Exco Negeri Sembilan Dimuktamad Selewatnya Jumaat Ini - MB
- MB Negeri Sembilan Umum Cuti Peristiwa Esok