Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 27/07/2026 08:10 PM

Kerajaan Baharu Negeri Sembilan Perlu Mesra Perniagaan, Pacu Ekonomi Negeri - Ahmad Zahid

Kerajaan Baharu Negeri Sembilan Perlu Mesra Perniagaan, Pacu Ekonomi Negeri - Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas menghadiri Program Himpunan Usahawan Negeri Sembilan di D'Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 27 Julai (Bernama) -- Kerajaan baharu yang bakal dibentuk di Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) perlu bersifat mesra perniagaan bagi memastikan potensi ekonomi negeri dan usahawan tempatan dapat dipacu ke peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata visi dan hala tuju pentadbiran negeri yang baharu amat penting dalam mewujudkan ekosistem perniagaan yang dinamik, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memartabatkan usahawan Bumiputera.

“Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu, Insya-Allah...mesti sebuah kerajaan yang business-friendly, (mesra perniaagaan) mesti ada usaha membantu usahawan Bumiputera untuk berjaya bukan hanya setakat domestik, tapi mesti berada di peringkat antarabangsa.

“Itulah kerajaan baharu Negeri Sembilan yang kita hasratkan,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika berucap pada Program Himpunan Usahawan Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata Negeri Sembilan mempunyai potensi ekonomi yang sangat besar berikutan kedudukannya yang strategik berhampiran pusat pentadbiran dan pintu masuk utama negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa usahawan untuk berani mengambil peluang dalam rangkaian bekalan industri serta meneroka niche market (pasaran khusus), di samping berpegang kepada tuntutan agama termasuk menunaikan zakat bagi memastikan kelangsungan dan keberkatan perniagaan.

Menyentuh peranan MARA, Ahmad Zahid mahu agensi itu membina ekosistem pertumbuhan komprehensif merangkumi pembiayaan, teknologi, pensijilan, penjenamaan dan akses pasaran.

“Langkah itu merangkumi usaha menaik taraf skala usahawan secara berperingkat daripada peringkat nano, mikro, kecil, sehinggalah ke tahap sederhana yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ukurannya bukan kepada berapa banyak wang disalurkan, tetapi berapa ramai usahawan yang berjaya kita naikkan ke tahap seterusnya. Saya mahu MARA bekerjasama dengan kerajaan Negeri Sembilan yang baharu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata Negeri Sembilan juga memiliki asas kukuh dalam pelbagai sektor strategik seperti pembuatan, logistik, agromakanan, industri halal, pelancongan dan ekonomi digital.

Bagaimanapun, beliau berkata momentum pembangunan tersebut perlu digerakkan semula dengan lebih pantas dan tersusun, termasuk menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi dan disokong pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pemodenan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pembangunan ekosistem halal serta usaha merancakkan semula sektor pelancongan.

“Hanya Negeri Sembilan yang ada Malaysia Vision Valley. Saya mahu Negeri Sembilan ini menjadi tempat untuk tinggal, tempat untuk bekerja, tempat untuk berniaga, tempat untuk melabur, dan tempat untuk membina masa depan generasi usahawan dan generasi muda di Negeri Sembilan,” katanya.

-- BERNAMA