Berita Terkini
Pemimpin JPKK Perlu Laksana Tanggungjawab Dengan Penuh Integriti - PM
PORT DICKSON, 27 Julai (Bernama) -- Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu melaksanakan amanah dengan penuh integriti serta memberikan penerangan yang jelas dan tepat kepada rakyat mengenai usaha dan pencapaian kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pimpinan di peringkat akar umbi memikul tanggungjawab besar dalam memastikan rakyat memahami usaha kerajaan selain menjaga keharmonian kaum dan memperkukuh perpaduan demi kestabilan serta keselamatan negara.
“Kebijaksanaan pimpinan-pimpinan yang dahulu, zaman Tun Abdul Razak, dia tekankan peranan masa itu JKKK, sekarang JPKK... sebab dia tahu, hebat bagaimanapun ketua-ketua negara atau pimpinan negeri, di bawah itulah jawapannya (JPKK).
“Jadi, saudara-saudara yang diberi amanah jangan lupa tentang masalah ini... saya tidak ada hajat menjelaskan satu per satu apa yang telah dilakukan,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama pemimpin JPKK Negeri Sembilan di Lukut hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Bagi menyokong peranan dan kebajikan jawatankuasa itu di peringkat akar umbi, Anwar berkata kerajaan menyediakan peruntukan RM5.319 juta khusus untuk JPKK di Negeri Sembilan.
Beliau berkata ketelusan dan tadbir urus yang baik di peringkat akar umbi amat penting bagi memastikan peruntukan serta kemudahan yang disediakan kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat tanpa berlaku kebocoran atau penyelewengan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata sebanyak 348 atau hampir 90 peratus daripada keseluruhan 394 JPKK di Negeri Sembilan telah menerima manfaat menerusi program Sejati MADANI, dengan jumlah peruntukan geran mencecah RM34.12 juta.
Beliau turut memuji prestasi kepimpinan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Aminuddin yang disifatkannya sebagai sentiasa cemerlang dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
“Jadi, pertahankanlah kerajaan yang rekodnya baik dan jagalah hubungan ini dengan Menteri Besar supaya menjadi tumpuan kerja dan pasukan,” katanya.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Salahkan Kejayaan Kaum Lain Tidak Beri Manfaat Kepada Ekonomi Orang Melayu - Mohamad
- PRN NS: Cuaca Diramal Baik Pagi Esok Untuk Undi Awal - MetMalaysia
- PRN NS: Kempen Berbaki Empat Hari, Calon Perhebat Kempen Raih Sokongan Pengundi
- Kerajaan Baharu Negeri Sembilan Perlu Mesra Perniagaan, Pacu Ekonomi Negeri - Ahmad Zahid
- Hormati Institusi Diraja, Elak Sentuh Isu 3R – Ahmad Zahid