Berita Terkini
PRN NS: BN Lancar Manifesto, Garis Sembilan Teras
SEREMBAN, 24 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan manifesto gabungan itu yang menggariskan sembilan teras bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Manifesto bertemakan ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan’ itu dilancarkan Pengerusi BN Negeri Sembilan yang juga Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.
Teras pertama dalam manifesto itu ialah ekonomi dan pembangunan, diikuti teras kedua yang memberi tumpuan kepada peningkatan taraf hidup, kebajikan dan kesejahteraan rakyat manakala teras ketiga memfokuskan usaha memartabatkan pendidikan, modal insan, belia, wanita dan keusahawanan.
Teras keempat pula menekankan usaha memperkasakan pertanian, agromakanan, pembangunan desa dan FELDA; manakala teras kelima melibatkan penyediaan kediaman dan perumahan dan teras keenam memberi perhatian kepada isu alam sekitar dan pelancongan.
Turut terkandung dalam manifesto itu ialah usaha memperkasakan agama, adat budaya, warisan dan masyarakat Orang Asli sebagai teras ketujuh, sementara teras kelapan menumpukan kepada sukan, rekreasi dan perpaduan manakala teras kesembilan menyentuh mengenai aspek penyampaian perkhidmatan.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon, Naib Presiden MIC Datuk M. Asojan serta calon-calon BN yang bertanding selain Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai manakala hari mengundi 1 Ogos.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: PH Akan Teruskan Pentadbiran Bersih, Berintegriti Sekiranya Diberi Mandat- Anwar
- Chang Sifatkan Keputusan Aminuddin Tanding DUN Linggi Satu Langkah Berani
- PRN NS: Pusingan Pertama Kempen Berakhir, Saingan Dijangka Sengit Pada Minggu Kedua
- Pemimpin Kerajaan Perpaduan Komited Untuk Terus Bekerjasama - Ahmad Zahid
- PRN NS: BN Cadang Wujudkan Pegawai Khas Orang Asli Di Pejabat MB Jika Diberi Mandat