Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 24/07/2026 09:53 PM

Chang Sifatkan Keputusan Aminuddin Tanding DUN Linggi Satu Langkah Berani

Chang Sifatkan Keputusan Aminuddin Tanding DUN Linggi Satu  Langkah Berani
Kredit: FB Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Keputusan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 disifatkan sebagai langkah berani.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Chang Lih Kang berkata keputusan itu dianggap berani kerana Linggi merupakan antara kubu kuat Barisan Nasional (BN) yang dipertahankan gabungan itu sejak 1970-an.

“Keputusan Tok Min (Aminuddin) untuk bertanding di sini (Linggi) membawa isyarat yang jelas bahawa beliau tidak gentar berdepan ugutan mahupun permainan politik pihak lawan. Sebagai seorang jeneral, beliau memilih untuk turun sendiri ke kubu lawan sambil mengetuai barisan calon Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Negeri Sembilan kali ini.

“Saya yakin rekod pentadbiran Tok Min yang cemerlang, khususnya dalam menarik pelaburan, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat, mampu meyakinkan pengundi Linggi daripada pelbagai kaum,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH dan PKR Negeri Sembilan akan dicabar penyandang Datuk Mohd Faizal Ramli daripada Barisan Nasional (BN) serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Zamri Md Yunus.

Chang yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim berkata PH sentiasa komited mempertahankan politik berteraskan keadilan, kestabilan dan kebersamaan dalam masyarakat berbilang kaum, selain menolak politik sempit yang memainkan sentimen serta memecahbelahkan rakyat demi kepentingan kuasa.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berharap Aminuddin diberikan mandat  bagi memastikan ekonomi negeri terus berkembang demi kesejahteraan rakyat.

Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA