Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 24/07/2026 03:46 PM

Jangan Fitnah Saya, Jangan Menang Melalui Fitnah - PM Anwar

Jangan Fitnah Saya, Jangan Menang Melalui Fitnah - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir ke Program Semarak Kenegaraan di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), hari ini.

PORT DICKSON, 24 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak supaya tidak melemparkan fitnah atau menyebarkan maklumat tidak benar semata-mata untuk meraih kemenangan politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Anwar berkata beliau turut menjadi mangsa fitnah, termasuk dakwaan kononnya mengadakan perjumpaan bagi menyebarkan dakyah dalam kalangan anggota tentera dan veteran ketika berkempen pada pilihan raya tersebut. 

"Pagi tadi ada pegawai saya hantar, dia kata 'Ooh...Anwar panggil orang sebar di kalangan tentera. Saya pening, politik sampai begitu rupa. Dia ambil keputusan cut, paste, kemudian sahkan itu sebagai kenyataan.

Jangan Fitnah Saya, Jangan Menang Melalui Fitnah - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengibarkan Jalur Gemilang diiringi lagu ketika Program Semarak Kenegaraan di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Saya bukan sempurna, saya ada banyak kelemahan. Saya juga dalam hidup banyak kesilapan dan kalau terlepas apa-apa keterlanjuran saya minta maaf, tetapi jangan fitnah saya," katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Anwar turut berkongsi pengalaman pernah berdepan pelbagai fitnah dan layanan tidak adil sepanjang hidupnya, sambil berharap semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman itu serta tidak menjadikan fitnah sebagai jalan untuk memperoleh kemenangan politik.

Jangan Fitnah Saya, Jangan Menang Melalui Fitnah - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap hadir ke Program Semarak Kenegaraan di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda). -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Beliau juga memohon kerjasama dan sokongan padu warga perkhidmatan awam bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara serta membolehkan agenda reformasi dan perubahan kerajaan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Pada PRN Negeri Sembilan, Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), membabitkan 16 calon PKR, 11 calon DAP dan sembilan calon Amanah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal pada 28 Julai.

Jangan Fitnah Saya, Jangan Menang Melalui Fitnah - PM Anwar
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Program Semarak Kenegaraan di Hangar Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini. Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA