Berita Terkini
Ismail Jalankan Tugas Seperti Biasa, Hadiri Perjumpaan Dengan Pegawai Kanan Negeri
SEREMBAN, 18 Nov (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Ismail Lasim hari ini dilihat menjalankan tugas seperti biasa dengan menghadiri perjumpaan bersama pegawai kanan kerajaan negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan (SUKNS), di sini.
Menerusi hantaran di Facebook, Ismail berkata perjumpaan itu diadakan bersama Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia baharu, Akhmal Abu Basar yang menggantikan Zairil Azwan Zulmuji yang berpindah ke Kementerian Pendidikan.
Beliau turut menyampaikan harapan supaya Akhmal dapat meneruskan usaha memperkukuh pengurusan sumber manusia dan kecemerlangan perkhidmatan awam Negeri Sembilan selain merakamkan penghargaan kepada Zairil Azwan atas sumbangan dan perkhidmatannya.
Isnin lepas, Ismail, 67, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh dilaporkan meletak jawatan sebagai Menteri Besar.
Semalam, Istana Negeri Sembilan memaklumkan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).
Semalam, Tuanku Muhriz turut dilaporkan berkenan menerima menghadap Ismail susulan kemelut semasa yang melanda negeri itu dengan sesi menghadap bermula kira-kira 5 petang dan berakhir pada 6.30 petang.
Ismail mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lepas.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Status Peletakan Jawatan, Calon MB Negeri Sembilan Tunggu Pengumuman Istana - Ahmad Zahid
- JKDM Rampas Arak Tiruan Bernilai Lebih RM1.05 Juta Di Semenyih
- 10 Bekas Exco Negeri Sembilan Tarik Balik Saman Berhubung Krisis Perlembagaan Negeri
- BN Harap Kemelut Pentadbiran Negeri Sembilan Selesai Secara Baik - Zambry
- Mangsa Banjir Di Selangor Meningkat, Perak Berkurang, Dua PPS Dibuka Di Negeri Sembilan