Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 16/11/2026 10:57 PM

Ismail Lasim Letak Jawatan Menteri Besar N. Sembilan

Ismail Lasim Letak Jawatan Menteri Besar N. Sembilan
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim

SEREMBAN, 16 Nov (Bernama) -- Datuk Ismail Lasim meletak jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Zambry berkata Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima satu salinan surat peletakan jawatan tersebut, yang telah diutuskan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Ahmad Zahid akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

“BN menghormati keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Datuk Ismail Lasim, sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.

“BN berharap keputusan ini dapat membuka lembaran baharu, bagi memulihkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran Negeri Sembilan kembali berfungsi dengan lancar,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi BN malam ini.

Zambry berkata BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya, bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur, dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta perkenan Tuanku Muhriz.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada 2 Ogos, BN memenangi 18 kerusi DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

-- BERNAMA