Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 13/11/2026 03:00 PM

261 Anggota, Pegawai Polis N. Sembilan Ditugaskan Bantu PRN Melaka

261 Anggota, Pegawai Polis N. Sembilan Ditugaskan Bantu PRN Melaka
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 13 Nov (Bernama) -- Sebanyak 261 anggota dan pegawai Polis Kontinjen Negeri Sembilan ditugaskan bagi membantu memastikan kelancaran dan keselamatan ketika proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, esok.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata mereka telah digerakkan ke Melaka bermula semalam bagi membuat persediaan awal.

“Penugasan dari segi logistik dan pergerakan semasa di Melaka tertakluk kepada arahan serta keperluan operasi di sana.

"Kita akan memberikan kerjasama sewajarnya bagi membantu memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses pilihan raya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 675,166 pengundi biasa layak menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian esok, dengan jangkaan keluar mengundi mencecah 70 peratus.

-- BERNAMA