Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 06/11/2026 06:01 PM

Pemandu Kenderaan Berat Diingatkan Peka Zon Titik Buta

Pemandu Kenderaan Berat Diingatkan Peka Zon Titik Buta
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Jasyindar Singh Sihdu

SEREMBAN, 6 Nov (Bernama) -- Pemandu kenderaan berat yang menggunakan lebuh raya di Negeri Sembilan diingatkan supaya lebih peka terhadap zon titik buta, serta memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum menukar laluan bagi mengelakkan kemalangan terutamanya sepanjang musim perayaan Deepavali ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Jasyindar Singh Sihdu berkata kewujudan zon terlindung daripada pandangan pada kenderaan berat, sering menjadi antara punca kemalangan apabila pemandu gagal memeriksa cermin sisi dengan teliti, manakala kenderaan kecil yang mengekori terlalu rapat turut berdepan risiko.

Beliau berkata antara kawasan tumpuan pengunaan kenderaan berat di negeri ini ialah kilometer 269 Lebuh raya PLUS, KM 258 PLUS, Jalan Ulu Bendul-Terachi, Jalan Seremban-Tampin, Jalan Seremban-Lukut, Jalan Batang Benar-Nilai, Pekan Gemencheh dan Jalan Bahau-Rompin.

“Pelaksanaan Ops Patuh kali ini juga memberi tumpuan kepada kesalahan berisiko tinggi termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan, membawa muatan berbahaya serta tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar.

“Aliran trafik dijangka meningkat dua kali ganda atau 100 peratus, manakala pemantauan dari udara turut dilaksanakan menggunakan dua unit dron bersama dengan pengendali khusus, bagi mengesan pesalah lalu lintas di persimpangan jalan serta jajaran kritikal,” katanya kepada pemberita pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Dengan Perayaan Deepavali Tahun 2026, di sini hari ini.

Jasyindar berkata penggunaan telefon bimbit ketika memandu serta risiko pemandu mengalami fenomena terlelap sejenak akibat keletihan turut menjadi antara aspek yang diberi perhatian dalam operasi berkenaan kerana boleh mengundang kemalangan maut.

Beliau berkata pihaknya akan mengoptimumkan kekuatan anggotanya bagi memastikan Ops Patuh bermula 7 hingga 12 Nov.

Dalam pada itu, beliau berkata selain rondaan di jalan raya, penguatkuasaan secara penyamaran tanpa pakaian seragam, turut dilaksanakan di terminal bas awam bagi menyiasat aduan berkaitan perkhidmatan bas ekspres.

“Langkah itu termasuk memastikan tiada penumpang berdiri di dalam bas, mengelakkan penurunan penumpang di lokasi tidak dibenarkan serta memeriksa kelayakan fizikal pemandu,” katanya.

Beliau berkata langkah penguatkuasaan itu bukan semata-mata bertujuan mengenakan saman, sebaliknya bagi mencegah kemalangan serta memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas.

-- BERNAMA