Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 30/10/2026 06:43 PM

Banjir Di Kedah Hampir Pulih, Jumlah Mangsa Di Negeri Sembilan Meningkat

Banjir Di Kedah Hampir Pulih, Jumlah Mangsa Di Negeri Sembilan Meningkat
Foto: APM Perak

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Situasi banjir di Kedah semakin pulih apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan petang ini, manakala Negeri Sembilan merekodkan sedikit peningkatan dan Perak kekal tidak berubah.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir menurun kepada sembilan orang daripada dua keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS setakat 4 petang ini, berbanding 25 orang daripada lapan keluarga pada pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan kesemua mangsa dari Kampung Pulai dan Kampung Senggora di daerah Pendang itu ditempatkan di PPS Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya.

Banjir Di Kedah Hampir Pulih, Jumlah Mangsa Di Negeri Sembilan Meningkat
Foto: APM Perak

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 82 orang daripada 33 keluarga setakat petang ini, berbanding 71 orang daripada 30 keluarga pada 8.30 pagi tadi.

Berdasarkan data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS di Kuala Pilah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol dan Dewan Orang Ramai Dangi.

Daripada jumlah itu, 28 ialah lelaki dan 35 wanita, termasuk lima kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU), dan kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir kekal 23 orang daripada tujuh keluarga setakat petang ini, dengan kesemua mereka berlindung di PPS SK Titi Serong di daerah Kerian.

Sekretariat JPBN Perak dalam kenyataan memaklumkan mangsa dari Taman Aman Sejahtera dan Taman Desa Aman 1 itu ditempatkan di PPS berkenaan sejak petang semalam berikutan banjir.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan memaklumkan hujan diramalkan berlaku di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim pada petang dan malam ini.

-- BERNAMA