Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 30/10/2026 03:05 PM

Adat Perpatih Perlu Dipelihara, Didokumentasi Melalui Teknologi Digital - MB

Adat Perpatih Perlu Dipelihara, Didokumentasi Melalui Teknologi Digital - MB
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim (tengah) pada majlis perasmian Perpatih Fest 2026 bertemakan “Adat Dijaga, Warisan Terpelihara” di sini hari ini.

SEREMBAN, 30 Okt (Bernama) -- Adat Perpatih perlu terus dipelihara dan didokumentasikan melalui pelbagai pendekatan termasuk teknologi digital, penerbitan ilmiah dan pendidikan warisan bagi memastikan khazanah negeri itu tidak terhakis ditelan zaman.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata tanggungjawab memelihara warisan berkenaan bukan hanya terletak pada institusi adat dan muzium semata-mata tetapi memerlukan penglibatan semua pihak termasuk masyarakat, institusi pendidikan dan agensi kerajaan.

“Pengetahuan berkaitan adat, sejarah lisan serta amalan tradisi perlu direkodkan sebagai rujukan generasi akan datang, selain diperluas menerusi pameran interaktif bagi memudahkan masyarakat memahami warisan itu.

“Adat Perpatih bukan sekadar peraturan turun-temurun. Ia mengandungi falsafah kehidupan yang menekankan permuafakatan, musyawarah, keadilan dan tanggungjawab bersama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Perpatih Fest 2026 bertemakan “Adat Dijaga, Warisan Terpelihara” di sini hari ini.

Justeru, beliau berkata pemimpin adat, institusi pendidikan dan agensi kerajaan berperanan memastikan ilmu serta amalan adat diwariskan kepada generasi seterusnya.

Ismail berkata Adat Perpatih dan budaya komuniti lain turut berpotensi menyumbang kepada ekonomi negeri menerusi makanan tradisional, seni persembahan, kraf tangan dan sejarah tempatan yang boleh dijadikan tarikan pelancongan.

Beliau berkata selaras dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, kerajaan negeri mahu warisan budaya diperkasakan sebagai produk pelancongan yang bukan sahaja menarik pengunjung, malah memberi peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian itu, Menteri Besar berkata program berkenaan turut membawa kelainan tahun ini menerusi penyertaan delegasi dari Thailand yang menunjukkan minat untuk mendalami Adat Perpatih, sekali gus peluang memperluas warisan adat itu kepada masyarakat luar.

Selain itu, beliau berkata penubuhan Galeri Adat Perpatih masih dalam perancangan dan ketika ini pihaknya menyediakan ruang pameran yang menempatkan peralatan berkaitan adat serta hasil seni kraf tangan bagi menarik kedatangan orang ramai.

“Kalau barang adat sahaja mungkin tidak semua orang akan memahami dan berminat untuk datang ke sini (Perpatih Fest). Jadi, kita letakkan juga barang-barang lain termasuk hasil kraf tangan yang menampilkan adat dan kebudayaan,” katanya.

Perpatih Fest yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 1 Nov menghimpunkan pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi Adat Luak Beradat, permainan tradisional, pameran muzium dan etnik, masakan warisan serta persembahan kebudayaan.

Program itu turut menampilkan seminar, wacana dan forum berkaitan institusi adat serta sejarah budaya Alam Melayu selain pertandingan busana tradisional dan aktiviti kreatif bagi mendekatkan warisan berkenaan kepada generasi muda.

-- BERNAMA