Berita Terkini
Belanjawan N.Sembilan Tetap Dibentang Walau Tanpa Exco - Ismail
SEREMBAN, 8 Okt (Bernama) -- Pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan akan diadakan pada 27 Nov ini walaupun tanpa kehadiran barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), kata Menteri Besar Datuk Ismail Lasim.
Beliau berkata Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya bermula 16 Okt ditangguhkan bagi memberi ruang secukupnya untuk merangka belanjawan tersebut.
"Cadangannya, perasmian Persidangan DUN pada 26 Nov diikuti dengan pembentangan belanjawan pada 27 Nov dan bersambung minggu berikutnya bagi perbahasan sehingga Khamis," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan watikah Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Ismail berkata satu sesi konsultansi belanjawan akan diadakan dalam masa terdekat membabitkan kesemua 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan bagi mengambil kira pandangan wakil rakyat dalam penyediaan belanjawan tersebut.
Beliau berkata ketiadaan Exco ketika ini tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri berikutan urusan berkaitan portfolio masing-masing masih dilaksanakan oleh jabatan kerajaan.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberi jaminan untuk terus memimpin pentadbiran negeri dengan penuh keteguhan demi memastikan kebajikan rakyat kekal sebagai keutamaan.
"Saya sedar dalam perjalanan sesebuah negeri, kita akan berdepan pelbagai cabaran. Apa yang penting ialah bagaimana kita menghadapinya dengan ketenangan, kematangan, dan keberanian untuk mencari jalan penyelesaian," katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon sokongan dan doa daripada seluruh rakyat agar tempoh mencabar ini dapat dilalui dengan penuh kebijaksanaan dan kesatuan.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Jerebu: Semua Institusi Pendidikan Di Negeri Sembilan Ditutup Esok
- Kes Pelajar Maut: Dua Remaja Didakwa Esok
- Krisis Negeri Sembilan: Undang Johol, Tiga Bekas Undang Tarik Balik Semakan Kehakiman
- Negeri Sembilan Catat RM41.5 Bilion Pelaburan Diluluskan Sejak 2023
- Belanjawan 2027: Negeri Sembilan Mohon Tumpuan Infrastruktur, Air, Bencana