Berita Terkini
DAP N. Sembilan Buat Laporan Polis Berhubung Hantaran Kaitkan Institusi Diraja
SEREMBAN, 1 Okt (Bernama) -- DAP Negeri Sembilan hari ini membuat laporan polis berhubung satu hantaran di media sosial yang didakwa mengaitkan parti itu dengan krisis di negeri berkenaan serta institusi diraja Negeri Sembilan.
Pengerusinya, J. Arul Kumar berkata hantaran menerusi akaun Facebook milik Khalide Al Walid itu antara lain mendakwa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mempunyai kaitan dengan DAP selain mengaitkan parti itu dengan isu tanah adat.
Beliau berkata dakwaan berkenaan merupakan perkara serius kerana membabitkan institusi diraja yang sepatutnya bebas daripada kaitan dengan mana-mana parti politik.
"Sebagai parti politik, kita biasa berhadapan kritikan dan tekanan, tetapi apabila institusi diraja dikaitkan dengan mana-mana parti politik, perkara itu sudah melampaui batas," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini.
Arul berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti pemilik dan latar belakang akaun yang memuat naik hantaran berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
Beliau berkata hantaran itu turut didakwa mengaitkan DAP dengan beberapa isu termasuk tanah adat, kehadiran wakil rakyat pada taklimat berkaitan agama dan pertukaran nama jalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai itu berkata sepanjang lapan tahun menjadi Exco kerajaan negeri sebelum ini, perkara berhubung pemindahan milik tanah adat tidak pernah dibincangkan.
"Selain itu dakwaan wakil rakyat DAP menghadiri mesyuarat di Pejabat Agama itu adalah atas kapasiti sebagai wakil rakyat, kehadiran pada taklimat berkenaan bertujuan mendapatkan maklumat yang boleh disampaikan kepada pengundi dan penduduk khususnya pengundi Islam di kawasan masing-masing,” katanya.
Sementara itu, mengenai pertukaran nama jalan, Arul berkata perkara berkenaan merupakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) dan bukan isu yang wajar dikaitkan dengan mana-mana parti politik.
Arul berkata DAP tidak mahu isu berkenaan dipolitikkan atau dikaitkan dengan parti itu kerana krisis yang berlaku di Negeri Sembilan perlu diselesaikan dengan segera demi memastikan pentadbiran negeri dapat berfungsi dengan baik.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- SUK Tidak Terima Makluman, Surat Peletakan Jawatan Menteri Besar Setakat Ini
- JPNS Rangka Empat Teras Pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera 2026
- Mangsa Banjir Di Selangor, Negeri Sembilan Meningkat, Jumlah Di Perak Berkurangan Setakat Petang Ini
- Status Peletakan Jawatan, Calon MB Negeri Sembilan Tunggu Pengumuman Istana - Ahmad Zahid
- JKDM Rampas Arak Tiruan Bernilai Lebih RM1.05 Juta Di Semenyih