Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 18/09/2026 03:23 PM

Tuanku Muhriz Tunai Solat Jumaat Di Masjid Diraja Tuanku Munawir

Tuanku Muhriz Tunai Solat Jumaat Di Masjid Diraja Tuanku Munawir
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat bagi menunaikan Solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti hari ini.

KUALA PILAH, 18 Sept (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi kedua-dua anakanda, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-’Abidin.

Turut menunaikan solat, Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid bersama lebih 500 jemaah yang diimamkan oleh Imam Eksekutif Masjid Diraja Tuanku Munawir Abdul Rahman Ibrahim.

Tuanku Muhriz Tunai Solat Jumaat Di Masjid Diraja Tuanku Munawir
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan mengaminkan doa pimpinan Imam Eksekutif Masjid Abdul Rahman Ibrahim selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti hari ini.

Tuanku Muhriz turut berkenan menerima memorandum taat setia dan sokongan terhadap baginda yang diserahkan oleh Ketua Sekretariat Taat Setia dan Sokong Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, Dr Mohd Aluwi Sari.

Baginda turut meluangkan masa bersama jemaah selepas menunaikan solat di masjid berkenaan.

"Terima kasih semua," titah baginda.

Mohd Aluwi berkata memorandum tersebut menyatakan pendirian sekretariat yang menjunjung institusi diraja, mempertahankan Perlembagaan, memelihara Adat Perpatih, mendaulat undang-undang dan menjaga keamanan serta keharmonian rakyat negeri ini.

"Jika terdapat kandungan mencabar atau menjejaskan kedudukan institusi diraja, kami minta perkara tersebut disiasat secara profesional dan tindakan diambil," katanya.

Beliau turut menyeru semua parti politik dan pemimpin supaya menghormati bidang kuasa institusi diraja dan struktur adat negeri ini.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan semalam memaklumkan proklamasi mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April lepas tidak sah, kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

AGC turut memaklumkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Sementara itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang Dipertua DKU.

-- BERNAMA