Berita Terkini
Kerajaan Negeri Sembilan Lancar Program MANES Dekati Dan Perkasa Masyarakat
SEREMBAN, 14 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan program Masyarakat Negeri Sembilan (MANES), iaitu satu inisiatif baharu bagi mendekati, mendengar, membantu dan memperkasakan rakyat menerusi ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkata program berkenaan dilaksanakan menerusi kunjungan kembara MANES ke agensi dan unit di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberikan penerangan tentang pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan berkenaan di seluruh daerah termasuk kawasan kampung.
Beliau berkata antara golongan yang diberi perhatian termasuklah warga emas, kanak-kanak, individu autistik serta golongan yang memerlukan perkhidmatan kebajikan, selain memberikan tumpuan kepada pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
“Tujuannya adalah untuk menguar-uarkan semua perkhidmatan diberikan kepada rakyat yang ada di JKM Negeri Sembilan. Mungkin ada maklumat tidak sampai kepada masyarakat dan tidak semua orang tahu mengenai bantuan yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kembara MANES dan sumbangan bantuan kebajikan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan Siti Nur Umaira Hasim berkata MANES diterjemahkan melalui lima inisiatif utama, iaitu MANES @ Suara Kita, Kembara Kasih MANES, MANES Prihatin, MANES Emosi dan MANES @ DuIT Je!
Siti Nur Umaira berkata pelaksanaan MANES mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat bukan sahaja menerima bantuan, malah turut diberi ruang dan sokongan untuk menjadi lebih berdikari.
“Bagi kita, tiada rakyat yang terlalu jauh untuk disantuni. MANES mahu dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dalam arus pembangunan negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak RM532,704 bantuan disampaikan bersempena dengan kembara hari ini bagi menyokong usaha kebajikan masyarakat.
Siti Nur Umaira berkata daripada jumlah itu, RM339,000 diperuntukkan menerusi Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme kepada 26 pusat pembelajaran autisme, manakala RM193,704 disalurkan sebagai Bantuan Kewangan Kerajaan kepada tiga Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).
Beliau berkata bantuan berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong kanak-kanak yang memerlukan pendidikan serta organisasi yang menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat.
-- BERNAMA