Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 12/09/2026 03:17 PM

16 Kawasan Pelancongan Dipilih Projek Rintis ZTPP KPDN

16 Kawasan Pelancongan Dipilih Projek Rintis ZTPP KPDN
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Aris Mamat (kiri) menyempurnakan simbolik perasmian Karnival Patuh Peringkat Negeri Sembilan di Wetworld Pedas hari ini.

REMBAU, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan kepada kawasan pelancongan di seluruh negara menerusi pelaksanaan Program Zon Tumpuan Pelancong PATUH (ZTPP) bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang, khususnya berkaitan harga dan urus niaga.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Pencegahan) Bahagian Penguat Kuasa KPDN Aris Mamat berkata sebanyak 16 kawasan tumpuan pelancong di seluruh negara dipilih sebagai projek rintis ZTPP tahun ini, antaranya Wet World Pedas di sini, kawasan pelancongan Melaka dan Johor.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan mewujudkan budaya perniagaan beretika selain memastikan pelancong tidak berdepan harga yang tidak munasabah, timbangan tidak mencukupi atau amalan perniagaan yang boleh menjejaskan imej destinasi pelancongan.

"Kalau seorang pelancong terkena harga mahal, dia akan bawa balik maklumat itu kepada rakan-rakannya dan perkara ini boleh menjejaskan imej kawasan tumpuan pelancong.

"Oleh sebab itu, kita bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta agensi pelancongan negeri bagi memastikan semua peniaga di kawasan pelancongan berhemah dalam urus niaga," katanya pada sidang media selepas pelancaran Program PATUH 2026 peringkat Negeri Sembilan di Wet World Pedas, di sini hari ini.

Aris berkata pihaknya sebelum ini menerima pelbagai aduan mengenai harga keterlaluan di kawasan pelancongan dan telah melakukan siasatan serta meminta peniaga mengemukakan sebab kenaikan harga, sama ada disebabkan kos input atau bekalan meningkat.

"Kalau peniaga boleh buktikan, tidak ada masalah, tetapi kalau tidak boleh dibuktikan, ia boleh dianggap sebagai pencatutan dan ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang KPDN," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata program PATUH ini turut diperluas di 75 pasar seluruh negara termasuk tiga pasar awam di negeri ini, iaitu Pasar Ampangan, Pasar Lukut dan Pasar Kuala Pilah membabitkan 162 peniaga.

Aris berkata peniaga terbabit dibekalkan tanda harga PATUH bagi menggalakkan paparan harga yang jelas dan mudah dilihat pengguna manakala kaunter semak dan timbang layan diri ditempatkan di setiap pasar berkenaan.

Beliau berkata pengguna juga digalakkan menjadi mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat mengenai ketidakpatuhan peniaga menerusi WhatsApp di talian 019-8488000, aplikasi telefon pintar EZ ADU KPDN, Pusat Panggilan 1-800-886-800, portal e-Aduan KPDN serta aduan melalui imbasan kod QR.

-- BERNAMA