Berita Terkini
MAHA 2026: Negeri Sembilan Sasar RM300,000 Nilai Jualan Di Pavilion Baharu
SERDANG, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM300,000 dan kehadiran 150,000 pengunjung di Pavilion Negeri Sembilan bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim berkata sasaran itu meningkat berbanding edisi MAHA 2024, yang mencatatkan nilai jualan menghampiri RM284,000 dengan kehadiran hampir 130,000 pengunjung.
Beliau berkata bagi memperkukuh penyertaan tahun ini, kerajaan negeri telah membina Pavilion Negeri Sembilan secara kekal, dengan kos hampir RM3 juta di atas sebuah tanah lot di MAEPS.
“Pavilion yang disiapkan dalam tempoh lapan bulan ini menyediakan ruang pameran, jualan dan fasiliti interaktif, bagi mengetengahkan produk pertanian dan komersial negeri, teknologi pertanian, produk industri asas tani, peluang pelaburan serta agropelancongan,” katanya pada Majlis Perasmian Pavilion Negeri Sembilan sempena MAHA 2026 di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, berangkat menyempurnakan majlis itu.
Ismail berkata edisi MAHA kali ini menyaksikan penyertaan 18 pengusaha berbanding tujuh pada edisi 2024, yang antara lain mengetengahkan produk tempatan seperti Induk Salai, Durich Satay Tulang, Jemapoh Pizza, jagung retot daripada Leja Food, Apam Johol serta kuih sopang.
Dalam pada itu, beliau berkata sektor pertanian kekal memberikan sumbangan penting kepada ekonomi negeri, apabila merekodkan nilai tambah sebanyak RM3.44 bilion pada 2025 berbanding RM3.40 bilion pada 2024, sekali gus menyumbang 6.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.
Ismail berkata kerajaan negeri mahu sektor pertanian, bergerak daripada sekadar pengeluaran kepada penciptaan nilai yang lebih tinggi merangkumi pemprosesan, produk bernilai tambah dan pemasaran yang lebih luas selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Sembilan (RSNS) 2040.
Ismail turut berkata Kerajaan Negeri Sembilan merancang kawasan Rembau, Kuala Pilah, Jempol dan Gemas sebagai Pusat Agropolitan di bawah RSNS 2040, bagi mengukuhkan perkhidmatan pertanian, aktiviti hiliran dan pemasaran hasil tempatan.
“Selain empat daerah berkenaan, potensi biodiversiti dan ekopelancongan di Jelebu turut akan diperkasakan secara mesra alam dan mampan,” katanya.
Bagi mengatasi isu penuaan pengusaha pertanian yang dikenal pasti menerusi Banci Pertanian Negeri Sembilan 2024, Ismail berkata kerajaan negeri menyambut baik penggunaan teknologi seperti Internet Pelbagai Benda (IoT) dan sistem pengairan pintar, untuk meningkatkan produktiviti serta pendapatan golongan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan sehingga kini Negeri Sembilan telah menerima peruntukan sebanyak RM13.74 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, bagi program pemerkasaan agromakanan negara.
Terdahulu, keberangkatan tiba Tuanku Muhriz pada 11.15 pagi disambut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Negeri Sembilan.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Seri Dr Awaludin Said serta exco-exco kerajaan negeri.
Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani berkenan melawat reruai pameran Dewan A, sebelum kemudiannya melawat beberapa reruai di Pavilion Negeri Sembilan yang mempamerkan pelbagai produk dari negeri itu dan beramah mesra dengan beberapa pempamer serta usahawan, selain melawat Laman Padi dan Laman Ternakan.
MAHA edisi ke-14 itu berlangsung 10 hari bermula 28 Ogos hingga 6 Sept.
Acara dwitahunan itu, merupakan platform utama sektor pertanian negara yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, usahawan serta institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi mengetengahkan inovasi, teknologi dan peluang perniagaan dalam sektor agromakanan.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- SPRM Sedia Siasat Jika Ada Bukti Salah Guna Peruntukan ADUN PH
- Lebih 30,000 Pengunjung Hadir Meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Sembilan
- Semangat Juang Pemain Bantu Melaka FC Bangkit Catat Kemenangan
- Tahap Tepu Bina Rendah Beri Peluang Negeri Sembilan Rancang Pembangunan Lebih Strategik - MB
- Melaka FC Bangkit Catat Kemenangan 2-1 Ke Atas Negeri Sembilan FC