Berita Terkini
MAINS Peruntuk RM10.99 Juta Untuk Inisiatif Zakat Prihatin 2026
SEREMBAN, 23 Okt (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan RM10.99 juta bagi pelaksanaan Inisiatif Zakat Prihatin MAINS tahun ini merangkumi bantuan pendidikan dan kesihatan bagi memberikan sokongan kepada umat Islam yang layak di negeri ini.
MAINS dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu melibatkan empat komponen utama, iaitu inisiatif Mawaddah, bantuan awal persekolahan tahun satu dan tingkatan satu bagi sesi 2027, bantuan am pelajaran institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara serta bantuan perubatan pesakit kronik dan kritikal.
Menurut kenyataan itu, menerusi bantuan awal persekolahan, murid layak menerima RM100 seorang, dengan keutamaan diberikan kepada keluarga berpendapatan isi rumah antara RM4,690 hingga RM9,979.
"Bantuan am pelajar IPT pula menyediakan RM500 kepada setiap pelajar yang layak dan sedang mengikuti pengajian di IPT yang diiktiraf Kerajaan Malaysia, dengan syarat tidak pernah menerima bantuan zakat pendidikan MAINS sepanjang tempoh pengajian.
"Bagi bantuan perubatan pesakit kronik dan kritikal sebanyak RM500 diperuntukkan kepada setiap pesakit yang layak, dengan keutamaan kepada isi rumah berpendapatan tidak melebihi RM4,689 sebulan serta pemohon mempunyai pengesahan pegawai perubatan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, inisiatif Mawaddah menawarkan RM10,000 kepada setiap majikan, agensi dan institusi yang layak, termasuk jabatan kerajaan, sektor swasta, sekolah serta institusi pengajian tinggi yang mencapai sasaran penyertaan potongan zakat sebanyak 90 peratus termasuk potongan wakaf berjadual sebanyak 50 peratus dalam kalangan petugas Islam.
MAINS memaklumkan pelaksanaan inisiatif Mawaddah bermula dari 1 Ogos hingga 31 Okt tahun ini melalui penyelarasan dan pengesahan pihaknya.
Permohonan bagi bantuan persekolahan, pelajaran IPT dan perubatan akan dibuka dari 2 hingga 23 Nov ini secara dalam talian menerusi Sistem ePrihatin Zakat MAINS.
"Pautan permohonan diumumkan melalui portal rasmi dan media sosial MAINS pada 2 Nov, semua permohonan tertakluk kepada syarat kelayakan, semakan dan kelulusan pihak berkenaan," menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan inisiatif itu mencerminkan komitmen MAINS untuk memastikan dana zakat dimanfaatkan secara amanah dan bersasar demi kesejahteraan masyarakat Islam di Negeri Sembilan.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Sebar Kandungan Berunsur Hasutan Di Media Sosial
- Bantuan RM1,000 Beri Kelegaan Kepada Pemandu Teksi Menjelang Deepavali
- PDRM Tunggu Arahan AGC Berhubung Siasatan Dakwaan Ismail Dipaksa Tandatangani Proklamasi
- Permohonan DKU Untuk Mencelah Kes Exco NS Didengar Pada 2 Nov
- MCMC Rakam Percakapan Individu Disyaki Hina Institusi Diraja Negeri Sembilan