Berita Terkini
Fi Konservasi Taman Eko Rimba Di N. Sembilan Bermula 1 Sept
PORT DICKSON, 29 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan melaksanakan kutipan fi konservasi bagi kemasukan ke Taman Eko Rimba di negeri itu secara berfasa mulai 1 Sept ini.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan Mohd Yussainy MD Yusop berkata kadar bayaran RM3 bagi warganegara dan RM6 bagi bukan warganegara manakala kanak-kanak, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU) diberi pengecualian bayaran.
Beliau berkata bagi fasa pertama ini, ia melibatkan dua kawasan iaitu Taman Eko Rimba Ulu Bendul dan Taman Eko Rimba Lenggeng, diikuti fasa kedua pada Oktober dan fasa ketiga pada November.
“Negeri Sembilan mempunyai 10 Taman Eko Rimba dan 14 kawasan pendakian, untuk aktiviti mendaki gunung bayaran masih kekal RM5.
“Sebelum ini memang tiada fi konservasi bagi aktiviti rehat dan rekreasi di Taman Eko Rimba. Jadi, bagi memastikan kawasan ini terus terjaga, kerajaan negeri meluluskan kutipan fi konservasi itu,” katanya pada program penanaman 1,008 pokok di Hutan Simpan Sungai Menyala di sini hari ini.
Mohd Yussainy berkata pelaksanaan kutipan itu dibuat secara berfasa bagi membolehkan kerajaan negeri menilai maklum balas orang ramai sebelum diperluaskan ke kawasan lain.
Beliau berkata kutipan itu bertujuan memastikan kawasan Taman Eko Rimba terus dipelihara dan diselenggara dengan baik, selain memberi kemudahan kepada pengunjung yang menjalankan aktiviti rekreasi di kawasan berkenaan.
Menurut Mohd Yussainy, bagi memudahkan urusan pengunjung, tiga medium pembayaran disediakan iaitu secara dalam talian melalui aplikasi N9Pay, pembayaran kad debit atau bayaran tunai di pintu masuk.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Lebih 30,000 Pengunjung Hadir Meriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Negeri Sembilan
- Semangat Juang Pemain Bantu Melaka FC Bangkit Catat Kemenangan
- Tahap Tepu Bina Rendah Beri Peluang Negeri Sembilan Rancang Pembangunan Lebih Strategik - MB
- Melaka FC Bangkit Catat Kemenangan 2-1 Ke Atas Negeri Sembilan FC
- Dua Beradik Sesat Di Bukit Putus Lama Ditemukan Selamat