Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 27/08/2026 10:56 PM

Hanya Aminuddin Harun Pulangkan Peruntukan Penuh - MB

Hanya Aminuddin Harun Pulangkan Peruntukan Penuh - MB
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera kepada Ketua Kontinjen Negeri Sembilan ke Temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 Selangor di sebuah hotel hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 27 Ogos (Bernama) -- Hanya bekas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun telah memulangkan keseluruhan peruntukan yang diterima manakala sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) penggal lepas masih belum berbuat demikian sepenuhnya setakat ini.

Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata ADUN PH berkenaan, termasuk penyelaras DUN Paroi dan Labu, telah membuat pemulangan sejak 30 Jun lepas namun jumlahnya belum menyamai keseluruhan peruntukan yang diterima.

“Mungkin mereka sudah gunakan untuk rakyat dan sebagainya, itu saya tidak tahu... bagi yang tidak bayar sepenuhnya, perlu buat penjelasan dan ada rekod perbelanjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada ketua kontinjen dan pengurus ke Temasya Para Sukan Malaysia Selangor 2026 di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri Datuk Mustapha Nagoor.

Ismail berkata Pejabat Menteri Besar sedang meneliti rekod peruntukan kepada setiap ADUN PH bagi menentukan baki sebenar yang belum dipulangkan kerana jumlah yang diterima adalah berbeza.

“Surat yang akan dihantar tidak sama bagi setiap orang... ada yang mungkin perlu pulangkan penuh, ada yang kurang, semuanya bergantung kepada baki DUN masing-masing berdasarkan rekod yang kita simpan... surat akan dihantar selepas proses semakan selesai,” katanya.

Semalam, Ismail meminta semua ADUN dan penyelaras DUN daripada PH Negeri Sembilan penggal lepas memulangkan semula peruntukan yang diterima dari Julai hingga September dalam tempoh sebulan susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lepas.

Beliau berkata bagaimanapun, ahli Exco ketika itu termasuk Aminuddin masih berstatus ex officio hingga 31 Julai dan layak menggunakan peruntukan bagi bulan berkenaan.

Terdahulu, ADUN Nilai J. Arul Kumar berkata peruntukan yang disalurkan sebelum pembubaran DUN telah digunakan untuk kesejahteraan rakyat bukan bagi tujuan politik.

Pengerusi DAP negeri itu berkata kesemua baki peruntukan yang tidak dibelanjakan turut dipulangkan kepada Pejabat Menteri Besar sebelum 10 Julai lepas berserta laporan kewangan bagi setiap DUN.

-- BERNAMA

 

 


S