Berita Terkini
ADUN, Dua Penyelaras DUN PH N.Sembilan Penggal Lepas Diminta Pulang Peruntukan Julai-Sept - MB
SEREMBAN, 26 Ogos (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua penyelaras DUN daripada Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan penggal lepas, diminta untuk memulangkan semula peruntukan diterima bagi Julai hingga September dalam tempoh sebulan, susulan pembubaran DUN pada 5 Jun.
Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata keputusan itu dibuat, selepas mengambil kira ADUN dan penyelaras DUN iaitu Paroi dan Labu berkenaan, tidak lagi mempunyai fungsi selepas DUN dibubarkan.
Beliau berkata bagaimanapun ahli Exco ketika itu termasuk Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun masih berstatus ex-officio sehingga 31 Julai dan layak menggunakan peruntukan bagi bulan berkenaan.
“Jumlah peruntukan bagi tempoh tiga bulan yang diterima ahli Exco ialah RM225,000 namun mereka hanya perlu memulangkan semula sebanyak RM150,000, membabitkan Ogos dan September.
“ADUN PH lain perlu memulangkan semua peruntukan yang diterima sebanyak RM174,000 setiap seorang, manakala masing-masing RM150,000 bagi penyelaras DUN Labu dan Paroi yang ketika itu turut menerima peruntukan sehari sebelum DUN dibubarkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Beliau berkata peruntukan merangkumi komponen pusat khidmat dan kesejahteraan rakyat itu, diluluskan dalam mesyuarat Exco pada 3 Jun dan disalurkan ke dalam akaun 17 ADUN PH termasuk dua penyelaras DUN itu pada 4 Jun, iaitu sehari sebelum pembubaran DUN.
Ismail berkata pihaknya akan mengeluarkan surat menuntut semula pemulangan peruntukan tersebut kepada semua yang terlibat, dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ismail berkata kerajaan negeri bersetuju melantik Ketua MIC Bahagian Rembau Datuk VS Mogan, sebagai Pegawai Penyelaras Hal Ehwal Masyarakat India bertaraf Exco berkuat kuasa 1 Sept ini.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- N.Sembilan Lakukan Audit Ekosistem Pembangunan Sukan - Exco
- KL City Didenda RM50,000, NSFC Raih Kemenangan Percuma 3-0
- Masjid Sri Sendayan Dinobat "Global Outstanding Mosque Of The Year 2026"
- Kerajaan Negeri Sembilan Komited Perkukuh Penguatkuasaan Bagi Elak Jerebu
- Kibar Jalur Gemilang Lahir Daripada Kesedaran, Bukan Tunggu Arahan - Ismail Lasim