Berita Terkini
Kerajaan Negeri Sembilan Komited Perkukuh Penguatkuasaan Bagi Elak Jerebu
SEREMBAN, 24 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan komited mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menangani risiko jerebu serta memastikan kualiti udara di negeri itu terus kekal terkawal susulan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Mohd Fairuz Mohd Isa berkata walaupun bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Nilai, Seremban dan Port Dickson masih berada pada tahap sederhana, pemantauan perlu dipertingkatkan, terutama di kawasan berisiko berlaku kebakaran dan pembakaran terbuka.
Beliau berkata langkah itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri serta agensi berkaitan.
"JAS negeri akan meningkatkan rondaan di kawasan berisiko, khususnya di tanah pertanian, tanah lapang, kawasan bersemak serta lokasi yang mempunyai sejarah kejadian pembakaran terbuka.
"Punca industri yang menyumbangkan kepada pencemaran udara hendaklah dipertingkatkan dengan memastikan sistem kawalan pencemaran udara berada dalam keadaan yang baik dan berfungsi dengan cekap," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata keadaan cuaca panas dan kering dengan tempoh tanpa hujan yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut, kawasan pertanian dan kawasan bersemak, sekali gus menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.
Beliau berkata fenomena El Nino bukan punca utama berlakunya jerebu, sebaliknya keadaan panas dan kering akibat fenomena itu boleh mewujudkan keadaan berlakunya kebakaran dengan lebih mudah.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, sentiasa memantau bacaan IPU serta melaporkan segera sebarang kejadian pembakaran kepada pihak berkuasa.
"Usaha menangani jerebu bukan tanggungjawab kerajaan dan agensi penguat kuasa semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama seluruh masyarakat dan kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap aktiviti yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- KL City Didenda RM50,000, NSFC Raih Kemenangan Percuma 3-0
- Masjid Sri Sendayan Dinobat "Global Outstanding Mosque Of The Year 2026"
- Kibar Jalur Gemilang Lahir Daripada Kesedaran, Bukan Tunggu Arahan - Ismail Lasim
- Pulau Sembilan: Perak, Kerajaan Persekutuan Perkukuh Penguatkuasaan - Exco
- FAMA Perluas Pembukaan Cawangan Kopiesatu Ke Hospital