Berita Terkini
Tuanku Muhriz Ingatkan ADUN Negeri Sembilan Dahulukan Kepentingan Rakyat
KUALA PILAH, 2 Ogos (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya sentiasa mengutamakan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi kepentingan politik mahupun peribadi dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Baginda bertitah amanah yang dipikul oleh setiap wakil rakyat adalah amat besar kerana mereka bertanggungjawab membawa suara, aspirasi, keperluan serta permasalahan rakyat ke Dewan Undangan Negeri.
Tuanku Muhriz bertitah setiap dasar, perancangan dan keputusan yang dibuat hendaklah mencerminkan kepentingan serta sentiasa berpaksikan kebajikan rakyat serta kemajuan Negeri Sembilan.
“Kesetiaan dan komitmen kamu hendaklah sentiasa diutamakan kepada negeri dan rakyat yang diwakili, mengatasi sebarang kepentingan politik dan kepentingan peribadi,” titah baginda.
Tuanku Muhriz bertitah pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Pada masa sama, Tuanku Muhriz turut mengingatkan bahawa Negeri Sembilan memerlukan barisan pemimpin yang memiliki integriti tinggi, menjunjung maruah serta berpegang teguh kepada prinsip dan nilai-nilai murni.
Titah baginda, setiap amanah yang dipikul hendaklah dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan.
“Sebarang penyalahgunaan kuasa, kedudukan atau kepercayaan yang diberikan bukan sahaja akan mencemarkan institusi yang diwakili, malah boleh mengakibatkan ketidakadilan serta menjejaskan keberkesanan pelaksanaan dasar-dasar yang dirangka demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri,” titah baginda.
Barangkat sama ke istiadat itu ialah Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.
Hadir sama, Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid.
Terdahulu, ADUN Juasseh Datuk Ismail Lasim mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Tuanku Muhriz turut menaruh kepercayaan kepada Ismail untuk beliau terus berkhidmat dengan bersungguh-sungguh dan jujur, selain meneruskan kecemerlangan pentadbiran penggal lepas serta memperbaiki sebarang kelemahan yang ada.
Selain itu, baginda turut mengingatkan Menteri Besar dan semua ADUN supaya sentiasa menghormati serta taat setia kepada Institusi Diraja serta melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan di samping mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
Baginda juga menzahirkan ucapan tahniah kepada semua ADUN yang diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berakhir semalam, di samping merakamkan penghargaan kepada bekas ADUN serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah menabur bakti dan berkhidmat sepanjang penggal yang lepas.
“Kepada calon-calon yang tidak berjaya dalam pilihan raya kali ini, beta berharap agar semuanya dapat terus berkhidmat kepada rakyat dengan penuh dedikasi serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan Negeri Sembilan,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda mengingatkan bahawa setiap agama, kaum dan budaya mempunyai nilai-nilai murni serta tradisi yang wajar dihormati dan dipelihara dan sikap saling memahami, menghormati dan menghargai kepelbagaian yang menjadi kekuatan masyarakat hendaklah terus dipupuk dalam kalangan seluruh rakyat.
“Beta percaya bahawa dengan menjunjung nilai hormat-menghormati, toleransi dan semangat muafakat kita akan dapat memperkukuh perpaduan, memelihara keharmonian serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.
“Inilah asas penting yang akan memastikan Negeri Sembilan terus kekal aman, makmur dan sejahtera untuk dinikmati oleh generasi kini dan akan datang,” titah Tuanku Muhriz.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun semalam mengumumkan Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 daripada 36 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
Ramlan berkata Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 11 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.
Kerajaan Negeri Sembilan dibentuk menerusi kerjasama BN dan PN.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Menteri Besar Baharu Negeri Sembilan Ziarah Pusara Orang Tua Di Juasseh
- Kerajaan N. Sembilan Terus Dukung, Muliakan Institusi Diraja - MB
- Senarai Exco Negeri Sembilan Dimuktamad Selewatnya Jumaat Ini - MB
- MB Negeri Sembilan Umum Cuti Peristiwa Esok
- PRN Melaka: BN Melaka Terbuka Bekerjasama Dengan Mana-mana Pihak