Berita Terkini
PRN NS: Bersatu Akan Teliti Keputusan, Lakukan Bedah Siasat Perkukuh Parti
SEREMBAN, 2 Ogos (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan meneliti secara terperinci mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, kata Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata parti itu juga akan menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti langkah strategik yang dapat memperkukuh perjuangan parti itu.
“Ini adalah kali pertama Bersatu menyertai pilihan raya dengan menggunakan simbol sendiri tanpa bergantung dan menumpang kepada pihak lain.
"Keputusan di Negeri Sembilan menuntut Bersatu untuk mengambil tindakan yang berani bagi meningkatkan disiplin dalaman, bekerja dengan kuat dan membawa agenda perubahan yang dapat memberi manfaat terbaik untuk rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada PRN kali ini, Bersatu yang bertanding di 24 kerusi gagal memperoleh sebarang kemenangan.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata Bersatu akan membincangkan pembentukan gabungan parti-parti politik yang sederhana dan progresif untuk menyegarkan demokrasi dalam negara demi masa depan yang lebih cemerlang.
Negeri Sembilan mempunyai 36 DUN dan pada PRN kali ini, Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi DUN, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN), tujuh.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, PH yang memenangi 17 kerusi DUN membentuk kerajaan negeri bersama BN yang memperoleh 14 kerusi, manakala PN memenangi lima kerusi.
Pada 27 April lepas, BN Negeri Sembilan bertindak menarik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang membawa kepada pembubaran DUN pada 5 Jun lepas.
Untuk berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- BN Menang 18 Daripada 36 Kerusi DUN Negeri Sembilan - SPR
- PRN NS: Bersatu Gagal Menang Sebarang Kerusi, Berjasa, Asli Dan PSM Turut Kecundang
- PRN Negeri Sembilan: 30 Calon Hilang Deposit
- BN Kembali Terajui Negeri Sembilan Selepas Lapan Tahun, Bentuk Kerajaan Negeri Bersama PN
- PRN NS: Siti Nur Umaira Pemenang Paling Muda, Mohamad Hasan Tertua