Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 01/08/2026 02:41 PM

PRN NS: Trafik Perlahan Di Beberapa Jalan Utama, Orang Ramai Pulang Mengundi

PRN NS: Trafik Perlahan Di Beberapa Jalan Utama, Orang Ramai Pulang Mengundi
Aliran trafik di sekitar bandar Seremban menuju arah selatan kelihatan sesak pada Hari Pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Aliran trafik di beberapa jalan utama sekitar Seremban serta laluan menghubungkan daerah seperti Bukit Putus, Kuala Pilah dan Kuala Klawang, Jelebu dilaporkan terus meningkat sejak awal pagi ini.

Keadaan itu susulan kepulangan perantau ke kampung halaman untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, hari ini.

Berdasarkan semakan aliran trafik masa nyata menerusi aplikasi Google Maps, Waze dan Apple Maps mendapati trafik bergerak perlahan (kod merah) di beberapa lokasi terutama di Jalan Seremban-Kuala Pilah melalui Bukit Putus, Jalan Seremban-Tampin selain laluan menuju ke Kuala Klawang, Jelebu.

PRN NS: Trafik Perlahan Di Beberapa Jalan Utama, Orang Ramai Pulang Mengundi
Aliran trafik di sekitar bandar Seremban kelihatan sesak pada satu arah ketika tinjauan trafik pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.

Selain itu, hujan di beberapa kawasan di daerah ini pada tengah hari tadi turut menyumbang kepada situasi berkenaan.

Di pusat bandar Seremban, tinjauan Bernama mendapati pertambahan kenderaan jelas kelihatan di beberapa jalan utama dengan orang ramai dipercayai menuju ke pusat pengundian yang kebanyakannya terletak berdekatan jalan utama.

Bagi kawasan kampung, suasana yang lazimnya tenang pada hujung minggu turut berubah apabila deretan kenderaan memenuhi jalan-jalan kecil, manakala kedai makan dan gerai sarapan turut menerima tempias dengan kehadiran pelanggan yang lebih ramai daripada biasa.

PRN NS: Trafik Perlahan Di Beberapa Jalan Utama, Orang Ramai Pulang Mengundi
Aliran trafik di sekitar bandar Seremban kelihatan sesak pada satu arah ketika tinjauan trafik pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Supt Roslan Mohamed@Ab Aziz ketika dihubungi berkata keadaan trafik terkawal setakat 2 petang ini walaupun terdapat pertambahan kenderaan.

“Terdapat sedikit kelewatan di plaza tol disebabkan peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki Negeri Sembilan, namun anggota trafik ditempatkan di lokasi tumpuan bagi membantu melancarkan aliran trafik dan menguruskan pergerakan kenderaan," katanya.

Beliau berkata polis menjangkakan jumlah kenderaan akan terus meningkat menjelang waktu puncak pada petang, namun pemantauan dan penugasan anggota di lapangan akan diteruskan bagi memastikan aliran trafik kekal terkawal.

Hari ini, 859,760 pengundi di seluruh Negeri Sembilan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu bagi 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus menentukan kerajaan negeri yang akan mentadbir untuk penggal akan datang.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA