Berita Terkini
PRN Negeri Sembilan: Proses Pengiraan Undi Awal Dan Biasa Bermula
SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Pengiraan kertas undi awal dan biasa yang dikeluarkan kepada individu yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, bermula petang ini.
Proses pengiraan yang bermula pada 6 petang dilaksanakan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan disaksikan wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding, di lapan pusat penjumlahan rasmi undi di seluruh negeri.
Pengundian awal PRN negeri pada 28 Julai melibatkan secara keseluruhan 22,339 pemilih dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 tentera dan pasangan serta 5,174 polis dan pasangan, manakala selebihnya mengundi secara pos.
Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal melaksanakan tanggungjawab mereka, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan SPR.
Proses pengundian hari ini berakhir secara rasmi selepas kesemua 401 pusat mengundi di seluruh negeri ditutup tepat 6 petang ini.
Setakat 4 petang tadi, sebanyak 65.38 peratus atau lebih 562,133 orang daripada keseluruhan 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos menunaikan tanggungjawab mereka.
SPR sebelum ini menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi PRN kali ini mampu mencecah hingga 72 hingga 75 peratus, dengan keputusan awal dijangka diperoleh seawal 10 malam ini.
PRN negeri ini menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan Pakatan Harapan (PH) bertanding di kesemua kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas.
Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula masing-masing menampilkan seorang calon.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA