Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 01/08/2026 02:49 PM

PRN NS: Kesibukan Tidak Halang Petugas Bernama Tunai Tanggungjawab Mengundi

PRN NS: Kesibukan Tidak Halang Petugas Bernama Tunai Tanggungjawab Mengundi
Petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Mohd Fharkhan Abdul Ghapar (dua, kiri) bersama ibunya Siti Masrah Akim (tiga, kanan) dan ahli keluarga Farah Amira Kamarudin (kiri), Noor Athalia Abdul Ghapar (kanan), Mohd Fharid Abdul Ghapar (tiga, kiri) dan Mohd Fherdahus Kamarudin (dua, kanan) menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Paroi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar (TTJ) 2. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Kesibukan membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 tidak menghalang warga Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meluangkan masa menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, sekali gus memilih wakil rakyat dan menentukan hala tuju kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Walaupun terikat dengan jadual liputan yang padat, beberapa wartawan dan jurugambar Bernama yang hampir tiga minggu ‘berkampung’ di Biro Bernama Negeri Sembilan sejak 14 Julai lepas tetap mencari ruang untuk hadir ke pusat pengundian masing-masing.

Wartawan Bernama Mohd Fharkhan Abdul Ghapar, 32, Rozainah Abdul Rahim, 36, dan jurufoto Mohd Izzul Farhan Ahmad Surianshah masing-masing mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Sri Tanjung dan Ampangan.

PRN NS: Kesibukan Tidak Halang Petugas Bernama Tunai Tanggungjawab Mengundi
Petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Mohd Fharkhan Abdul Ghapar menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Paroi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar (TTJ) 2. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Fharkhan berkata biarpun jadual tugasan hari ini padat, beliau tetap meluangkan masa untuk mengundi bersama empat ahli keluarganya di Sekolah Kebangsaan (SK) Tuanku Jaafar 2, Senawang.

“Selama ini mengundi secara pos, tetapi kali ini saya tidak memohon kerana sudah tahu akan ditugaskan membuat liputan PRN. Jadi, ini kali pertama saya mengundi secara fizikal dan rasa teruja pula apabila jari ada kesan celup dakwat,” katanya yang hadir kira-kira 2 petang.

Bagi Rozainah yang mengundi di Kolej Vokasional Port Dickson pada 9.40 pagi, peluang membuat liputan sambil melaksanakan kewajipan sebagai pengundi memberikan pengalaman tersendiri, apatah lagi DUN Sri Tanjung menyaksikan pertandingan lima penjuru.

PRN NS: Kesibukan Tidak Halang Petugas Bernama Tunai Tanggungjawab Mengundi
Jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Izzul Ahmad, meluangkan masa menunaikan tanggungjawab mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan Ampangan, Seremban, ketika bertugas membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mohd Izzul Farhan pula mengundi di SK Ampangan dan menyifatkan peluang bertugas sambil menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi sebagai pengalaman istimewa.

Sementara itu, wartawan sambilan (stringer) Bernama TV Arfi Ahmad, 53, dan anaknya yang juga jurukamera Bernama TV, Muhd Danial Amsyar Arfi, 28, mengundi bagi DUN Lenggeng di SK Pantai selepas selesai membuat liputan Ketua Polis Negara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King George V, di sini pagi tadi.

Bagi Penolong Editor Bernama Erda Khursyiah Basir, 40, yang menetap di Senawang, beliau turut mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk pulang mengundi bagi DUN Chennah di SMK Triang Hilir, Simpang Durian, Jelebu.

“Pilihan raya sebelum ini, saya undi pos. Tapi kali ini istimewa sedikit sebab ini kali pertama saya mengundi secara fizikal. Saya rasa teruja dan bangga pula melihat jari dicelup dakwat biru,” katanya.

Bagi petugas portal Bernama.com, Rozalina Ayob, 57, beliau turut tidak melepaskan peluang pulang ke negeri kelahirannya untuk mengundi secara fizikal buat kali pertama di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, Seremban.

Rozalina yang berasal dari Palong, Jempol dan kini menetap di Kuala Lumpur bertolak pada 8 pagi untuk merasai sendiri pengalaman mengundi secara bersemuka.

“Sebelum ini hanya undi pos. Bila merasai sendiri mengundi secara bersemuka, amat berbeza suasananya, meriah,” katanya.

Selain itu, wartawan Meja Rencana dan Isu Semasa Bernama Muhammad Basir Roslan yang juga anak jati Rantau turut mengambil cuti untuk mengundi di SK Datuk Akhir Zaman sebelum pulang ke Kampung Ulu Lalang menemui keluarga.

Turut mengundi ialah Pengurus Berita Radio Bernama Mohd Hirzee Mohamad, 41, di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor bagi DUN Ampangan dan wartawan Meja Semakan Fakta MyCheck Norzaidi Arjunaidi, di SMK Chan Wa II bagi DUN Bukit Kepayang.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Press Institute (MPI) Ainol Amriz Ismail turut dilihat mengundi di SK Paroi bagi DUN Paroi di sini selain, bekas Ketua Biro Bernama Negeri Sembilan Razali Pilus yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar, Senawang bagi DUN Paroi.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA