Berita Terkini
PRN NS: Aminuddin, Mohamad Hasan Selesai Mengundi
SEREMBAN, 1 Ogos (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun selesai menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar pagi ini.
Aminuddin yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi tiba di pusat pengundian berkenaan pada 8.59 pagi.
Selain Aminuddin, turut selesai mengundi ialah Menteri Luar yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, yang bertanding di DUN Rantau dan calon BN DUN Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau pada 8.50 pagi, manakala Mohd Faizal di Sekolah Kebangsaan Telok Kemang, Port Dickson pada 9.05 pagi.
DUN Linggi menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Aminuddin, Mohd Faizal dan Datuk Zamri Md Said daripada Bersatu, manakala satu lawan satu di DUN Rantau antara Mohamad dan calon PH Dr Azizul Hakim Mahdi.
Turut selesai menunaikan tanggungjawab ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Putra, Simpang Durian, Jelebu pada 9.28 pagi.
Jalaluddin yang bertanding di DUN Pertang ditentang dua pencabarnya, iaitu Mohd Umry Abdul Khois (PH) dan Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus (Bersatu).
Proses pengundian bermula pada 8 pagi secara serentak di 401 pusat mengundi di seluruh negeri membabitkan 1,668 saluran sebelum ditutup sepenuhnya pada 6 petang.
Pengundian yang membabitkan sebanyak 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos hari ini berlangsung dalam keadaan cuaca baik.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan kadar keluar mengundi antara 72 dan 75 peratus dengan keputusan dijangka diketahui seawal 10 malam, manakala keputusan penuh diperoleh sebelum tengah malam.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP yang juga calon PH bagi DUN Chennah Anthony Loke selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kelpin, Seremban.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan selesai menunaikan tanggungjawab pada 11.30 pagi bersama dengan calon PH bagi DUN Mambau Lee Kai Yet.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- PRN NS: Susah Jangka Pemenang, Pengabungan BN-PN Tukar Landskap Politik - Pemerhati
- PRN Negeri Sembilan: Warga Emas 92 Tahun Teruja Masih Berpeluang Mengundi
- PRN NS: 92 Laporan Polis Diterima, 24 Kertas Siasatan Dibuka - KPN
- PRN NS: 37.29 Peratus Keluar Mengundi Setakat 12 Tengah Hari - SPR
- PRN NS: Gen Z Tunai Tanggungjawab Mengundi Kali Pertama, Akui Berdebar