Berita Terkini
PRN NS: Manifesto PH Iltizam Teruskan Agenda Pembangunan Negeri - Anwar
SEREMBAN, 30 Julai (Bernama) -- Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 merupakan iltizam gabungan itu untuk meneruskan agenda pembangunan negeri yang stabil, progresif dan inklusif demi kesejahteraan seluruh rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata manifesto berkenaan dirangka berpaksikan keperluan rakyat dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan, penyediaan peluang pekerjaan berkualiti, kebajikan menyeluruh serta pembangunan seimbang supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Sepanjang tempoh diberi amanah mentadbir, pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan (Menteri Besar) Datuk Seri Aminuddin Harun demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu pembangunan Negeri Sembilan,” kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini.
Pada 20 Julai lepas, PH melancarkan manifesto bertemakan “Negeri Sembilan Kekal Harapan”, yang menggariskan 10 komitmen utama sebagai tawaran gabungan itu bersempena dengan PRN berkenaan.
Sepuluh komitmen itu ialah menawarkan kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat; memperkasakan Skim Sejahtera Rakyat (SSR); membina ekonomi yang berdaya saing dan mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, serta memastikan pendidikan berkualiti untuk semua.
Turut terkandung dalam manifesto berkenaan, penyediaan 20,000 rumah mampu milik dan penyelesaian isu tanah; memperkasakan belia, wanita dan keluarga serta membangunkan sektor pelancongan dan warisan adat, selain menjayakan Pelan Pembangunan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).
Manifesto berkenaan turut menumpukan soal pertanian moden dan keterjaminan makanan; merealisasikan infrastruktur strategik dan perkhidmatan kesihatan berkualiti, serta memperkasakan perpaduan antara agama.
Anwar yang juga Presiden PKR dalam pada itu memohon dukungan dan kepercayaan rakyat di negeri ini untuk terus memberikan mandat kepada PH.
“Dengan penuh rendah hati, saya memohon dukungan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk terus memberikan mandat kepada HARAPAN. Insya-Allah, kami akan terus memelihara amanah yang diberikan dan bekerja bersungguh-sungguh demi masa depan Negeri Sembilan yang lebih makmur, sejahtera dan inklusif,” kata beliau.
Pada Sabtu ini, sebanyak 867,151 pemilih biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PH bertanding di semua 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) (25) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (24), Perikatan Nasional (PN) (11), empat calon Bebas manakala Barisan Jamaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Isu Tadbir Urus, Integriti Iktibar Utama Pilih Pemimpin - Fahmi
- Siasatan Susulan RCI TH Perlu Telus, Jangan Lindungi Pihak Bersalah - PMm Anwar
- Pendedahan RCI TH Bukan Politik Picisan - PM Anwar
- Kerajaan Tetap Diserang Sama Ada Dedah Atau Tidak Laporan RCI TH - Nurul Izzah
- 'Report Card' Kerajaan Negeri Terima Respons Positif Pengundi - Aminuddin