Berita Terkini
Pendedahan RCI TH Bukan Politik Picisan - PM Anwar
PORT DICKSON, 30 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bukan isu tindakan politik picisan sebaliknya amanah dan tanggungjawab memelihara kepentingan jutaan umat Islam negara ini.
Beliau berkata laporan berkenaan perlu dilihat secara serius kerana ia antara lain mendedahkan teguran dan amaran yang pernah diberikan Bank Negara Malaysia pada 2014 dan 2017 berhubung keadaan kewangan TH, namun tidak diambil tindakan sewajarnya.
“Ini bukan isu politik. Ini soal amanah, satu tanggungjawab kita memelihara kepentingan umat,” katanya ketika berucap pada program Munajat Perdana di Dewan Orang Ramai Linggi, yang turut dihadiri Menteri Besar yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi Datuk Seri Aminuddin Harun di sini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata laporan RCI itu bukan dihasilkan oleh kerajaan pimpinan beliau.
Perdana Menteri berkata keputusan kerajaan memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen membahaskan laporan berkenaan pada 11 Ogos ini membolehkan perkara itu dijelaskan secara terbuka berdasarkan fakta dan kandungan laporan.
Anwar hari ini dilaporkan berkata sesi persidangan khas untuk membahaskan dapatan Laporan RCI mengenai TH akan diadakan pada 11 Ogos ini selepas perbincangan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Laporan RCI mengenai TH yang diterbitkan semalam mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
Anwar berkata kerajaan juga sebelum ini mengambil langkah menyusun semula aset TH dengan memindahkan syarikat mengalami kerugian ke Kementerian Kewangan bagi melindungi kepentingan pencarum manakala pengurusan dan syarikat TH yang berdaya maju kekal di bawah institusi itu.
Beliau berkata kerajaan tidak berpolitik mengenai isu berkenaan, sebaliknya memastikan setiap dakwaan yang mempunyai asas disiasat oleh pihak berkuasa dan tindakan undang-undang diambil jika terdapat kesalahan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan telah mengembalikan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) mulai 2023 selepas bantuan berkenaan dihentikan sejak 2003.
“Kerana apa (kembalikan)? kerana keyakinan kita. Perbuatan amalan itu pada amal, bukan pada janji kerana ada orang menjanjikan masa itu dan beberapa kerajaan silih berganti, tidak diubah dasar ini (kembalikan bantuan),” kata beliau.
Anwar berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada keadaan fizikal SAR yang sebahagiannya daif, selain berusaha memperkukuh pendidikan di institusi berkenaan tanpa mengganggu kurikulum agama sedia ada.
Beliau berkata pelajar SAR juga perlu didedahkan kepada teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) supaya mereka tidak ketinggalan dalam perkembangan teknologi, sekali gus memastikan pendidikan agama terus diperkukuh seiring perkembangan ilmu dan teknologi.
Perdana Menteri berkata beliau akan terus memberi sokongan yang kuat kepada Aminuddin sebagai Menteri Besar selain menyeru pengundi di negeri ini memilih pemimpin yang amanah, baik dan tidak terbabit dengan rasuah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Beliau berkata semua pihak juga perlu mempertahankan dan menghormati kedudukan institusi beraja sebagai sebahagian daripada asas penting negara dan memastikan kelangsungannya terus dipelihara.
-- BERNAMA
Kata Kunci berkaitan
Berita Lain
- Isu Tadbir Urus, Integriti Iktibar Utama Pilih Pemimpin - Fahmi
- Siasatan Susulan RCI TH Perlu Telus, Jangan Lindungi Pihak Bersalah - PMm Anwar
- PRN NS: Manifesto PH Iltizam Teruskan Agenda Pembangunan Negeri - Anwar
- Kerajaan Tetap Diserang Sama Ada Dedah Atau Tidak Laporan RCI TH - Nurul Izzah
- 'Report Card' Kerajaan Negeri Terima Respons Positif Pengundi - Aminuddin