Berita Terkini

Tarikh Dikeluarkan: 28/07/2026 11:01 PM

PRN NS: Calon PH Jeram Padang Tawar 10 Teras Fokus Pekerjaan, Infrastruktur Dan Kebajikan

PRN NS: Calon PH Jeram Padang Tawar 10 Teras Fokus Pekerjaan, Infrastruktur Dan Kebajikan
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil menyantuni komuniti setempat pada program minum petang di Felda Bukit Rokan Barat hari ini. Turut hadir calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 28 Julai (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang G. Manivanan menawarkan 10 teras menerusi manifesto yang memfokus kepada peluang pekerjaan, pembangunan belia dan kebajikan masyarakat di kawasan berkenaan.

Manifesto bertemakan “Tekad Kita Bina Jeram Padang” itu turut menggariskan usaha memperkukuh pembangunan ekonomi setempat, meningkatkan kemudahan awam serta memastikan pembangunan yang lebih adil dan seimbang untuk semua lapisan masyarakat sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Sabtu ini.

Dalam aspek ekonomi, Manivanan bertekad merancang pembangunan ekonomi lebih mampan dengan menarik pelaburan, memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana, menyokong usahawan tempatan serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Jeram Padang.

“Bagi golongan belia, manifesto ini menawarkan peluang pekerjaan menerusi latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), pembangunan kemahiran digital, keusahawanan serta program pembangunan bakat bagi melahirkan anak muda yang berdaya saing,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga bertekad menaik taraf kemudahan asas termasuk jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan liputan Internet berkelajuan tinggi selain menambah baik kemudahan awam bagi memastikan rakyat di kawasan berkenaan menikmati kehidupan lebih selesa dan berkualiti.

Manifesto itu turut menekankan aspek kebajikan kepada veteran, pesara, warga emas, wanita dan orang kurang upaya menerusi pelbagai bantuan, program sokongan serta inisiatif yang menyeluruh.

Dalam pada itu, pembangunan kemudahan awam turut diberi perhatian dengan hasrat membina dan menaik taraf dewan orang ramai, pusat komuniti, taman rekreasi, gelanggang serba guna, kompleks sukan dan kemudahan lain mengikut keperluan masyarakat.

Manifesto itu turut memfokus kepada pembangunan masyarakat yang adil dan seimbang dengan memastikan tiada komuniti dipinggirkan termasuk masyarakat Melayu, India, Cina, Orang Asli serta penduduk FELDA dan FELCRA.

Manivanan juga bertekad menyediakan bantuan pendidikan, kelas tuisyen, program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan kemahiran digital selain pembangunan kepimpinan dan sokongan kepada pelajar serta institusi pendidikan.

Sementara itu, akses kepada perkhidmatan kesihatan juga akan diperluas menerusi program saringan kesihatan dan kempen kesedaran selain usaha memperjuangkan kemudahan kesihatan yang lebih baik  serta memberi perhatian kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pelbagai sokongan.

Beliau berkata suara rakyat terus diberi keutamaan menerusi pentadbiran yang telus, amanah dan mudah didekati selain komitmen untuk sentiasa turun padang mendengar masalah rakyat serta memastikan setiap keputusan mengambil kira kepentingan masyarakat.

Kerusi DUN Jeram Padang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Manivanan, penyandang kerusi berkenaan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir daripada Barisan Nasional (BN), R. Sri Sanjeevan (Bersatu) dan Dayana Dal (Parti Orang Asli Malaysia).

Pengundian PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada Sabtu ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Negeri Sembilan ke-16, layari https://prn.bernama.com/n9.

-- BERNAMA