Berita

Kemaskini: 25/11/2026 06:08 PM

Johor Disaran Perkasa Ekonomi Jingga, Sasar 70 Peratus Tenaga Kerja Tempatan Dalam Produksi Filem

kredit: FB Ir. Ts. Haji Nazri Abdul Rahman

ISKANDAR PUTERI, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor disaran memperkasa ekonomi jingga dengan menetapkan syarat pengambilan sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga kerja tempatan bagi setiap produksi filem yang menggunakan insentif kerajaan.

Nazri Abdul Rahman (PH-Simpang Jeram) berkata langkah itu penting bagi memastikan limpahan pelaburan industri kreatif turut dinikmati golongan B40 dan M40, selain berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan kepada 200 hingga 300 pekerja tempatan bagi setiap penerbitan.

Beliau berkata pengumuman pelaburan RM92 juta bagi penerbitan bersama filem dan televisyen melibatkan Malaysia, Australia, Korea Selatan dan Singapura pada September lepas membuktikan Johor berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab kandungan antarabangsa, produksi maya dan teknologi kreatif.

“Kalau pelaburan besar ini hanya berlegar di Iskandar Puteri dan dinikmati syarikat besar dari luar, maka ia gagal. Sebab itu saya bangun hari ini untuk mencadangkan bagaimana industri kreatif ini boleh menjadi jambatan untuk menaikkan taraf hidup B40 dan M40 di Johor, khususnya di Muar,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Johor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Johor di sini hari ini.

Nazri turut mencadangkan penubuhan Akademi Pencipta Johor di setiap daerah bagi menyediakan latihan, studio komuniti dan bimbingan kepada golongan muda, selain pewujudan dana khas harta intelek (IP) Johor berjumlah RM5 juta setahun bagi membantu anak tempatan menghasilkan watak, cerita dan jenama sendiri.

Beliau juga menggesa kerajaan negeri menyediakan akses ke pasaran Singapura menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi membolehkan produk kreatif usahawan kecil tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

Sementara itu, Aznan Tamin (BN-Tanjung Surat) mencadangkan penubuhan Johor Entrepreneur Development Accelerator (JEDAC) sebagai sekretariat khusus bagi melatih dan membimbing syarikat tempatan merebut limpahan pelaburan berimpak tinggi bernilai RM110 bilion di negeri itu.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri menambah jumlah ambulans di Kota Tinggi, khususnya di Tanjung Surat, selain meningkatkan peruntukan sektor kesihatan sehingga RM100 juta bagi menangani masalah kesesakan katil di hospital.

Aznan berkata kedudukan Tanjung Surat yang mengambil masa sejam perjalanan dari Hospital Kota Tinggi menyebabkan perjalanan pergi dan balik ambulans bagi membawa pesakit kecemasan mengambil masa hampir dua jam.

Beliau turut memohon kerajaan negeri mengangkat cadangan pembinaan jambatan dari Dataran Tanjung Belungkor ke Pulau Tanjung Surat ke peringkat Kerajaan Persekutuan, selain membantu nelayan tradisional di Pengerang mendapatkan lesen sampan nelayan.

Dalam pada itu, Chan San San (BN-Johor Jaya) mencadangkan pembinaan jalan alternatif menghubungkan Seri Alam dengan Desa Cemerlang bagi mengatasi kesesakan lalu lintas serta mengurangkan kebergantungan terhadap Lebuhraya Pasir Gudang, selain memperkasa Terminal Bas Johor Jaya sebagai hab transit moden bagi menyokong integrasi Laluan Sistem Transit Rapid (RTS Link).

Chua Jian Boon (BN-Layang-Layang) pula menggesa kerajaan negeri mengkaji potensi pembangunan kawasan perindustrian di DUN berkenaan bagi membuka peluang pekerjaan berkualiti dan membendung penghijrahan golongan belia, selain memberi perhatian terhadap isu banjir kilat, sistem perparitan dan penyediaan perumahan golongan muda.

Alwiyah Talib (BN-Endau) pula menggesa kerajaan negeri menyegerakan pemasangan lampu jalan di beberapa jajaran gelap sepanjang jalan utama Mersing-Endau bagi mengurangkan risiko kemalangan pada waktu malam, terutama di kawasan berselekoh dan berbukit.

“Perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana keselamatan rakyat tidak boleh dikompromi. Kita tidak mahu menunggu sehingga berlaku kemalangan yang meragut nyawa barulah tindakan hendak diambil,” katanya.

-- BERNAMA