Berita

Kemaskini: 25/11/2026 07:48 PM

Penemuan Bungkusan Naskhah Al-Quran Di Tepi Jalan Tidak Wajar Berlaku - Exco

JOHOR BAHRU, 25 Nov (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid kesal dengan penemuan bungkusan plastik mengandungi 22 naskhah al-Quran serta pelbagai buku agama di tepi jalan di kawasan Ulu Tiram, di sini semalam.

Beliau berkata pihaknya akan membuat semakan dengan Jabatan Mufti Johor bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku, semakan akan dilakukan dan kita akan serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan terperinci,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Victor Genason berkata pihaknya menerima laporan pada 7 pagi semalam berhubung penemuan bungkusan plastik mengandungi al-Quran dan beberapa buku agama di kawasan berkenaan.

Beliau berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu.

Selain al-Quran, turut ditemukan di dalam bungkusan plastik hitam berkenaan ialah tiga naskhah terjemahan al-Quran, 18 naskhah surah Yasin serta pelbagai buku agama, buku teks sekolah dan buku tulis.

Sementara itu, Mohd Fared dalam kenyataan berkata perbuatan membuang atau tidak menguruskan al-Quran serta bahan bercetak yang mengandungi kalimah suci dengan sewajarnya merupakan perbuatan buruk dan berdosa kerana tidak menghormati kesucian Islam.

Beliau berkata umat Islam di Johor dinasihatkan supaya menjauhi perbuatan itu dan segera melaporkan sebarang kejadian seumpamanya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menerusi pejabat kadi daerah bagi membolehkan siasatan serta tindakan tegas diambil.

“Mereka yang bertanggungjawab akan dikenal pasti dan tindakan perundangan sama ada sivil dan syariah akan dikuatkuasakan bagi mengadili perbuatan yang tidak menghormati kesucian agama Islam ini.

“Bagi urusan melupuskan al-Quran mahupun bahan bercetak lain yang tertera kalimah-kalimah suci, orang ramai perlu berhubung dengan pejabat kadi daerah masing-masing bagi urusan pelupusan yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAINJ Datuk Mohd Radzi Mohd Amin berkata bahan berkaitan yang dikenal pasti dalam kes ini telah diambil oleh pihaknya dan ditempatkan di Pusat Pemurnian al-Quran Negeri Johor bagi memastikan ia diuruskan mengikut kaedah dan tatacara yang ditetapkan.

“JAINJ ingin menegaskan bahawa pengurusan dan pelupusan teks al-Quran, bahan-bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran serta bahan-bahan keagamaan hendaklah dilakukan dengan mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada demi menghormati kesucian serta kedudukan al-Quran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya memandang serius insiden berkenaan yang menimbulkan kebimbangan serta menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.

Katanya, JAINJ telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab, selain membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Radzi turut meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada JAINJ menerusi talian 07-207 6429.

-- BERNAMA