Berita
Raja Permaisuri Agong Lancar Buku Legasi Mufti-Mufti Johor
ISKANDAR PUTERI, 25 Nov (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan melancarkan buku bertajuk ‘Legasi Mufti-Mufti Johor 1896-1999’, yang memaparkan kepimpinan, fatwa dan warisan ulama dalam sejarah negeri ini.
Seri Paduka Baginda turut berkenan mendengar sesi Pengkisahan Sejarah Institusi Mufti Negeri Johor yang menampilkan tiga tokoh bagi mengupas sejarah awal berkaitan penubuhan institusi mufti dan peranan institusi diraja dalam perkembangannya.
Sesi itu menampilkan Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor Datuk Dr Kassim Thukiman, pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Halimi Mohd Khalid dan Pengarah Institut Persuratan Melayu Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI) Dr Maskiah Masrom.
Berangkat sama Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir, Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad, Yang Dipertua Majlis Jumaah DiRaja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid dalam ucapannya berkata sebanyak 3,971 bahan dan rekod bersejarah berkaitan institusi mufti dalam simpanan Arkib Negara Malaysia di Johor.
“Bahan dan rekod ini sentiasa menanti untuk diterokai dan dirujuk para penyelidik, ahli akademik serta masyarakat umum,” katanya.
Beliau berkata sejarah membuktikan bahawa institusi mufti di negeri ini terbina kukuh di bawah naungan Kesultanan Johor dan berdiri sebagai benteng pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam pada itu, Yahya berkata penyelidikan selama dua tahun melibatkan kira-kira 20 ahli akademik membuahkan hasil menerusi penerbitan buku berkenaan yang turut menghimpunkan sejarah, biografi dan sumbangan mufti terdahulu di negeri ini.
Katanya, Jabatan Mufti Johor melantik UTHM dan KUIJSI bagi menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan buku berkenaan.
Beliau berkata usaha menggali bahan sejarah serta mendapatkan maklumat lengkap mengenai latar belakang setiap mufti bukan perkara mudah, terutama dalam memastikan ketepatan fakta untuk dijadikan sumber rujukan.
Sehingga kini, sebanyak 13 Mufti Johor yang telah berkhidmat sejak 1896.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- PRU16: PM Anwar Minta Semua Pihak Bersabar
- Johor Disaran Perkasa Ekonomi Jingga, Sasar 70 Peratus Tenaga Kerja Tempatan Dalam Produksi Filem
- Penemuan Bungkusan Naskhah Al-Quran Di Tepi Jalan Tidak Wajar Berlaku - Exco
- Arkib Negara BangunkanD-ReAMS, Permudah Akses Rekod Sejarah Guna AI
- Johor Rekod Kutipan Denda RM585,000 Bagi Kes Pembuangan Sampah Haram