Berita

Kemaskini: 04/11/2026 06:46 PM

Kecil Bilangan, Besar Semangat: Persiapan Deepavali Di Sabah Rancak

Kredit: Datuk Dr G Mohan A Gopal Naidoo

Oleh Arthur Edward

KOTA KINABALU, 4 Nov (Bernama) -- Biarpun hanya membentuk sebahagian kecil daripada penduduk Sabah, komuniti India di negeri ini tetap bersemangat membuat persiapan bagi menyambut Deepavali pada Ahad ini.

Menjelang sambutan Pesta Cahaya itu, kuil Hindu dan persatuan masyarakat India di seluruh negeri berganding bahu memastikan perayaan berkenaan diraikan dalam suasana meriah, sekali gus menyerlahkan keunikan kepelbagaian budaya di Sabah.

Kredit: Datuk Dr G Mohan A Gopal Naidoo

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), komuniti India di Sabah dianggarkan berjumlah kira-kira 6,000 orang atau 0.2 peratus daripada keseluruhan 3.767 juta penduduk negeri itu setakat 2026.

Namun, jumlah kecil itu bukan penghalang untuk menghidupkan suasana perayaan menerusi persiapan yang dilakukan bersama dengan Malaysia Hindu Sangam Sabah State Council, Sabah Indian Association dan Persatuan Peranakan Masyarakat India Sabah, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung tempatan serta pelancong luar menikmati kemeriahan Deepavali.

Pengerusi Malaysia Hindu Sangam Sabah State Council Datuk Dr G Mohan A Gopal Naidoo berkata sambutan kali ini diserikan dengan sentuhan seni lukisan kolam berwarna-warni di beberapa pintu masuk dan lokasi tumpuan utama, antaranya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Lebih menarik, beliau berkata keunikan perayaan tahun ini turut menonjolkan kreativiti anak tempatan Sabah yang berbakat dalam penghasilan seni kolam serta seni mempertahankan diri silambam, yang memberi ruang kepada masyarakat menghayati kekayaan warisan kebudayaan India.

“Mari kita cari dan amalkan persamaan yang ada serta menghormati perbezaan wujud demi menjamin perpaduan negara berlandaskan gagasan Malaysia MADANI dan aspirasi Sabah Maju Jaya,” katanya kepada Bernama.

Bagi menyemarakkan lagi pesta berkenaan, Dr Mohan berkata ketiga-tiga persatuan terbabit menjalinkan kerjasama strategik bersama RTM Sabah menerusi penerbitan program khas dalam slot 'Kami Bah Ini' (KBI) yang dijadual bersiaran pada hari perayaan itu.

Katanya, rancangan khas berkonsepkan variety show itu bertujuan mengetengahkan keunikan masyarakat India di Sabah merangkumi adat, budaya dan sajian tradisional.

“Program ini turut memuatkan sesi temu bual bersama tokoh India yang banyak menyumbang kepada pembangunan negeri, demonstrasi seni lukisan kolam, silambam, perhiasan inai serta persembahan muzik dan tarian tradisional,” katanya.

Mengenai aspek kebajikan, persatuan merancang mengadakan kunjungan kasih ke rumah warga emas di Kinarut, Papar serta Penjara Kota Kinabalu bagi menghulurkan sumbangan perayaan demi memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir daripada merasai keceriaan Pesta Cahaya.

Selain itu, beliau berkata persatuan komited bertindak sebagai penggerak integrasi perpaduan di peringkat akar umbi dalam usaha memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negeri berkenaan.

Dr Mohan juga berharap perayaan itu dapat terus menyinari kehidupan masyarakat serta kekal menjadi simbol keharmonian, harapan dan perpaduan sejati.

Pada masa sama, beliau berharap sebuah karnival eksklusif Deepavali dapat direalisasikan di Sabah pada tahun hadapan bagi memperluas penghayatan silang budaya, sekali gus memperkukuh ikatan silaturahim rakyat berbilang bangsa.

-- BERNAMA