Berita

Kemaskini: 31/10/2026 09:00 PM

Liga Super: Sabah Kembali Ke Landasan Kemenangan, Tumpaskan Terengganu 2-0

Pemain Sabah FC Darren Lok (dua, kanan) dikawal ketat oleh dua pemain pertahanan Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

 

KOTA KINABALU, 31 Okt (Bernama) -- Sabah FC menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan dengan menumpaskan Terengganu FC 2-0 pada aksi Liga Super 2026/2027 di Stadium Likas di sini malam ini.

Pasukan tuan rumah menceriakan penyokong mereka apabila lambungan jarak jauh tonggak pertahanan kiri dari Sepanyol Enrique Lopez Fernandez melantun di dalam kawasan penalti lawan dan melangkaui penjaga gol Terengganu Mohd Suhaimi Husin, sekali gus meletakkan Sang Badak di depan pada minit ke-20.

Pemain Sabah FC Gonzalo Di Renzo (kiri) bersaing dengan pemain Terengganu FC Mohd Sharul Nizam (kanan) untuk menanduk bola pada aksi Liga Super di Stadium Likas. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

  Hantaran menarik satu dua yang dimulakan penyerang Darren Lok pula berjaya disudahkan pemain sayap kanan dari Argentina Gonzalo Ignacio Di Renzo yang melepaskan voli rendah untuk menggandakan kelebihan Sabah lima minit kemudian.

Malang terus menimpa skuad Sang Penyu apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas penyerang naturalisasi kebangsaan Romel Morales dilayangkan kad merah pada minit ke-42 setelah mengasari pemain tuan rumah.

Biarpun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, Sabah gagal menambah jaringan pada babak kedua sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil.

Pemain Sabah FC meraikan jaringan pertama pasukan itu menerusi gol yang dijaringkan oleh Gonzalo Di Renzo (dua, kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Likas. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Keputusan itu menyaksikan Sabah di tangga kelima liga selepas mengutip 10 mata dengan rekod tiga kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Terengganu pula berada di kedudukan kesembilan dengan lima mata menerusi satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

-- BERNAMA

Pemain Sabah FC Mohd Fadzrul Daniel (kiri) cuba mengawal bola daripada pemain pertahanan Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA