Berita

Kemaskini: 11/10/2026 06:56 PM

Tabung Kasih @ HAWANA Ringankan Beban, Tingkat Motivasi Pengamal Media

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin (kiri) menyantuni penerima Tabung Kasih@HAWANA X TM tiga pengamal media di Sabah (dari kanan) Kamarudin Abdullah dari RTM, Mohammad Fairuz Mohammed Yazzer dari Media Prima dan Floris Philip dari RTM.

KOTA KINABALU, 11 Okt (Bernama) -- Bantuan Tabung Kasih @ HAWANA bukan sahaja meringankan beban kos rawatan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan, malah memberi suntikan motivasi serta semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan dan kerjaya.

Eksekutif Jurukamera TV3 Mohammed Fairuz Mohammed Yazzer, 35, berkata bantuan yang diterima itu akan digunakan bagi menampung keperluan perubatan, termasuk perlindungan insurans bersesuaian.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 17 tahun di Media Prima berkata masalah slip disc dialaminya bermula ketika bertugas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas dan kesakitan itu semakin dirasai ketika tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan pada Januari lepas.

“Terima kasih kepada Tabung Kasih @ HAWANA atas bantuan ini. Saya berharap tabung ini akan diteruskan untuk membantu rakan-rakan media lain yang sangat memerlukan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menerima bantuan itu di Pejabat Biro Bernama Sabah, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Bantuan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pada program diadakan sempena lawatan kerja beliau ke Sabah.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli.

Mohammed Fairuz berkata masalah kesihatannya dikenal pasti sebagai slip disc selepas menjalani pemeriksaan MRI susulan pemeriksaan lanjut ketika mendapatkan rawatan bagi penyakit denggi pada pertengahan tahun ini.

Beliau berkata doktor mencadangkan rawatan awal termasuk fisioterapi, namun beliau masih mengalami kesakitan dan sedang menunggu penilaian lanjut daripada pakar bagi menentukan langkah rawatan seterusnya.

Sementara itu, penerbit rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Floris Philip, 54, yang mengalami masalah jantung berkata bantuan itu bukan sahaja dapat meringankan beban kos rawatan, malah turut memberi sokongan moral, membuatkan penerima berasa dihargai dan diberi perhatian.

“Bantuan ini sangat bermanfaat untuk keperluan rawatan, selain mampu mengembalikan semangat yang pernah hilang. Dengan kesakitan dialami ini, sekurang-kurangnya kita merasakan ada pihak yang prihatin,” katanya yang telah bertugas di RTM selama 33 tahun.

Seorang lagi penerima, Kamarudin Abdullah, 46, yang juga penerbit rancangan RTM selama 17 tahun berkata bantuan itu dapat meringankan sebahagian kos perubatannya selepas mengalami kemalangan jalan raya.

Beliau turut menggalakkan pengamal media yang berdepan masalah kesihatan atau ditimpa musibah supaya menghubungi urus setia Tabung Kasih @ HAWANA untuk mendapatkan maklumat mengenai bantuan disediakan.

“Tidak salah untuk kita memohon bantuan demi kelangsungan hidup dan supaya kita dapat terus bekerja,” katanya.

Tabung Kasih @ HAWANA adalah inisiatif Kementerian Komunikasi yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 2023, dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertindak sebagai urus setia untuk menyelaras penyaluran bantuan kepada pengamal media dan veteran wartawan memerlukan.

Sehingga hari ini, Tabung Kasih @ HAWANA telah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.54 juta kepada 864 pengamal media dan veteran wartawan, dengan 37 daripadanya dari Sabah.

-- BERNAMA