Berita

Kemaskini: 11/10/2026 05:52 PM

Tabung Kasih @ HAWANA Salur RM2.54 Juta Kepada 864 Pengamal Media Sejak 2023

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin (dua, kiri) bergambar bersama penerima Tahung Kasih@HAWANA X TM, Mohammad Fairuz Mohammed Yazzer (kiri), Floris Philip (dua, kanan) dan Kamarudin Abdullah (kanan).

KOTA KINABALU, 11 Okt (Bernama) -- Tabung Kasih @ HAWANA telah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.54 juta kepada 864 pengamal media dan veteran wartawan dari seluruh negara yang memerlukan sejak penubuhannya pada 2023 hingga hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata sebanyak 37 daripada penerima bantuan itu adalah pengamal media dari Sabah.

“Untuk tahun ini, Tabung Kasih @ HAWANA telah menyalurkan bantuan kepada 258 penerima termasuk empat dari Sabah.

“Saya berharap rakan-rakan wartawan dan veteran wartawan yang memerlukan bantuan dapat menghubungi Bernama selaku urus setia Tabung Kasih @ HAWANA supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

“Tabung Kasih @ HAWANA dengan sokongan Telekom Malaysia (TM) ini diharap dapat membantu meringankan beban rakan-rakan wartawan khususnya ketika mereka berdepan waktu yang mencabar,” katanya.

Teo berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan Tabung Kasih @ HAWANA kepada tiga pengamal media di Pejabat Biro Bernama Sabah, Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Program itu diadakan sempena lawatan kerja beliau di Sabah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata Tabung Kasih @ HAWANA adalah inisiatif Kementerian Komunikasi, dengan BERNAMA dipertanggungjawabkan untuk mengendali dan menyelaraskan penyaluran bantuan kepada penerima layak.

Beliau berkata bagi tahun ini, tabung berkenaan menerima sokongan daripada TM untuk membantu pengamal media yang memerlukan.

Nur-ul Afida turut menggalakkan rakan media di negeri-negeri supaya menyalurkan maklumat kepada Bernama berhubung pengamal media yang berdepan masalah kesihatan, kesempitan hidup atau kesukaran lain agar bantuan sewajarnya dapat dipertimbangkan.

Pada majlis itu, Eksekutif Jurukamera TV3 Mohammed Fairuz Mohammed Yazzer, 35, Penerbit Rancangan RTM Kamarudin Abdullah, 46, dan Penerbit Rancangan RTM Floris Philip, 54, adalah pengamal media Sabah yang menerima bantuan hari ini.

Mohammed Fairuz mengalami masalah slip disc atau cakera tergelincir pada bahagian tulang leher yang menyukarkan pergerakan semasa bekerja, Kamarudin pula perlu menjalani rawatan fisioterapi susulan kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan manakala Floris menghidap penyakit jantung.

--  BERNAMA