Berita

Kemaskini: 13/09/2026 02:52 PM

Poh Menongkah Arus Pemodenan, Pertahan Seni Pertukangan Kunci

Tukang kunci Poh Kim Tong menunjukkan sebahagian kunci pendua yang telah siap. Ketajaman penglihatan dan ketangkasan tangannya langsung tidak menggambarkan usianya yang mencecah 70 tahun. Meskipun sudah menginjak usia 70 tahun, beliau kekal cekap memotong dan membentuk pelbagai jenis kunci dengan pantas, malah tanpa memerlukan bantuan cermin mata. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SANDAKAN, 13 Sept (Bernama) -- Pada usia 70 tahun, Poh Kim Tong masih setia dengan dunia pertukangan kunci yang menjadi sumber rezekinya sejak lebih empat dekad lalu, meskipun kemajuan teknologi sedikit demi sedikit mengubah landskap perniagaan tradisional itu.

Penghijrahan Poh dari Sungai Petani, Kedah ke Sandakan pada 1979 membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila beliau kemudian mengusahakan perniagaan berkenaan bersama isterinya Lim Chun Hiong, 76.

Hasil perniagaan kecil itu bukan sahaja menjadi sumber pendapatan keluarga, malah membantu pasangan berkenaan membiayai pendidikan anak-anak mereka sehingga masing-masing kini mempunyai kerjaya stabil di Kota Kinabalu.

Tukang kunci Poh Kim Tong membuat kunci pendua menggunakan mesin. Ketajaman penglihatan dan ketangkasan tangannya langsung tidak menggambarkan usianya yang mencecah 70 tahun. Meskipun sudah menginjak usia 70 tahun, beliau kekal cekap memotong dan membentuk pelbagai jenis kunci dengan pantas, malah tanpa memerlukan bantuan cermin mata. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Dulu tembaga dia kuat sikit dan tulen, manakala sekarang banyak campuran dan orang juga banyak guna kunci elektronik, tetapi kunci biasa untuk kereta dan motosikal kami masih buat dengan bayaran RM3 hingga RM10 sahaja,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang 43 tahun mengusahakan perniagaan itu, Poh menyaksikan sendiri evolusi teknologi pembuatan kunci apabila proses yang dahulunya mengambil masa sehingga 30 minit secara manual kini dapat disiapkan dalam tempoh hanya lima minit menggunakan mesin moden.

Namun, di sebalik perubahan itu, sebuah mesin buatan Jepun berusia 38 tahun masih setia berkhidmat di kedainya dan terus diselenggara Poh sehingga hari ini.

Tukang kunci Poh Kim Tong (kiri) melayan seorang pelanggan yang ingin membuat salinan kunci. Ketajaman penglihatan dan ketangkasan tangannya langsung tidak menggambarkan usianya yang mencecah 70 tahun. Meskipun sudah menginjak usia 70 tahun, beliau kekal cekap memotong dan membentuk pelbagai jenis kunci dengan pantas, malah tanpa memerlukan bantuan cermin mata. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

Poh berharap perusahaan kecil yang banyak berjasa dalam menyara kehidupan keluarganya itu dapat terus dipertahankan agar kemahiran pertukangan kunci secara tradisional tidak pupus ditelan zaman.

"Anak muda sekarang tiada yang mahu belajar buat kunci kerana menganggap kerja ini susah, tangan kotor dan kena menggosok besi," luahnya yang bimbang terhadap ketiadaan pelapis generasi muda untuk mewarisi kemahiran berkenaan.

Selain cabaran mendapatkan pelapis, Poh turut berdepan persaingan penggunaan kunci elektronik serta kemerosotan pelanggan susulan pembangunan bandar satelit yang mengubah tumpuan penduduk ke kawasan baharu.

Namun, perniagaan yang dibinanya sejak lebih empat dekad lepas terus bertahan, antaranya hasil sokongan pelanggan setia yang menggunakan khidmatnya sejak bertahun-tahun.

Seorang daripada mereka, Selvia Ben, 46, berkata dia mendapatkan khidmat membuat pelbagai jenis kunci daripada Poh sejak di bangku sekolah dan terus memilih kedai itu sehingga kini.

"Daripada kecil lagi, mak saya selalu bawa pergi buat kunci di sini. Lain tempat saya tidak pernah pergi. Kunci pagar, kunci rumah, semua kunci kereta pun saya buat sini,” katanya.

-- BERNAMA